Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Lihat nama dan dengarkan iramanya, dan ketahuilah album terbaru Kopratasa, Mathnawi Rumi , dirakamkan dengan unsur 'keajaiban.'

Menurut Sani Sudin, ‘keajaiban’ itu berlaku dengan pantas dan proses untuk menyempurnakan album berkenaan tidak melalui laluan sukar.

“Apabila kami masuk studio dan memulakan proses rakaman, ketika itulah melodi lahir secara spontan.

“Prosesnya tidak sukar, malah tidak perlu pula pergi mencari ilham di tepi laut.

“Ia lahir menerusi perasaan, jiwa dan kalbu ketika itu.

“Ambil sajak dan rakam, macam ambil wudhu dan sembahyang,” katanya yang ditemui selepas sidang media pelancaran album Mathnawi Rumi di Institut Integriti Malaysia (IIM) di Kuala Lumpur semalam.

Album itu dilancarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wajdi Dusuki. Turut hadir Presiden IIM, Dr Anis Yusal Yusoff; Pengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Mohd Khair Ngadiron; Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn Bhd, Datuk M Nasir dan Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn Bhd Mohd Khirin Omar.

Kopratasa bermula dengan kumpulan dianggotai tiga penyanyi namun kini tinggal berdua selepas seorang daripada mereka, Siso atau Syed Indera Syed Omar membawa haluan sendiri.

Selain Sani, kumpulan itu dianggotai Usop (Mohd Yusof Ahmad).

Lebih besar dari alami

Kopratasa dikenali dengan lagu puisi dengan pelbagai tema termasuk cinta, ketuhanan dan masyarakat.

Dalam lagu puisi, Kopratasa berhajat untuk mendidik masyarakat dan melalui Mathnawi Rumi mereka menggunakan petikan daripada kitab Mathnawi karangan ahli sufi terkemuka Jalaluddin Rumi.

Jalaluddin - atau nama sebenarnya Jalaluddin Muhammad Balkhi - adalah penyair Parsi dan guru rohani dari abad ketujuh Hijrah atau 13 Masihi.

Puisi kerohanian beliau sebenarnya sudah lama dihayati oleh masyarakat antarabangsa.

Sehubungan itu, ketokohan dan bait indah dalam karya agungnya mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pen­didikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Buat julung kalinya kandungan Mathnawi - yang berusia 800 tahun mengandungi enam jilid - diterjemah ITBM dan digabungkan menjadi seni lagu dengan kerjasama Luncai Emas.

Bagaimanapun, bagi album Mathnawi Rumi hanya mengandungi sebahagian kecil kandungan naskhah berkenaan dan akan dikembangkan selepas ini jika mendapat sambutan.

Album yang dijual pada harga RM30 itu sudah mulai berada di pasaran semalam.

Menurut Sani, cinta Rumi adalah meluas pengertiannya dan tidak boleh dipandang menerusi pemikiran sempit.

“Cintanya lebih besar dari alam. Justeru, kita tidak boleh bandingkan dengan sempitnya cinta manusia yang segelintirnya ada ketololan,” katanya.

Lihat Komen
ADS