Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Walaupun agak senyap dan seolah-olah sudah diatasi, rupa-rupanya masalah cetak rompak masih terus 'membunuh' industri seni tempatan ketika kemudahan teknologi semasa memudahkan aktiviti berkenaan.

Cetak rompak jugalah yang menyebabkan Syamsul Yusof mengalirkan air mata ketika berucap di sesi pratonton filem Munafik arahannya di Kuala Lumpur malam tadi.

Kembali mengarah semula selepas tiga tahun, Syamsul bercerita bagaimana lanun cetak rompak 'mencuri' rezekinya melalui filem KL Gangster 2 beberapa tahun lalu.

Kemudian timbul pula cakap-cakap menyatakan Syamsul mahu berhenti mengarah ekoran isu berkenaan.

Malam tadi untuk pertama kali selepas tayangan KL Gangster 2 pada 2013, Syamsul membuka mulut kepada Malaysiakini menceritakan perasaannya.

“Tiada satu kenyataaan pun keluar dari mulut saya mengatakan mahu berhenti. Itu semua spekulasi.

“Cuma saya akui saya lemah semangat dan perlu mengembalikannya dengan berehat sekejap,” katanya.

Filem aksi KL Gangster 2 adalah susulan kepada KL Gangster yang diterbitkan pada 2011.

KL Gangster mencatatkan hasil kutipan memberangsangkan dengan anggaran kasar RM11.74 juta.

Untuk KL Gangster 2 yang menelan kos RM4.5 juta, berlaku penurunan ketara dalam jumlah kutipan tiket. Puncanya sebulan sebelum KL Gangster 2 ditayangkan filem itu sudah dilambak di pasaran melalui cakera video digital selain disebar di Internet.

Tiada kawalan ketat

Dan apabila Malaysiakini bertanyakan siapa dalang yang mungkin melakukan perbuatan terbabit, ini jawapan pengarah yang pernah memenangi Anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 itu: “Saya tidak mahu memburukkan atau pun menjatuhkan sesiapa dalam hal ini tetapi ini antara kemungkinan yang disyaki.

“Ia berlaku selepas saya menghantar filem berkenaan untuk diproses di sebuah makmal memproses filem di Bangkok, Thailand.

"Ia bukan baru sebab sudah lebih lima filem saya diproses di sana.

“Masalahanya, jika dilihat dari segi keselamatan menguruskan peralatan seperti komputer tidak dikawal ketat. Ada pihak lain bukan terdiri daripada produksi sewenang-wenangnya boleh memasuki bilik berkenaan sedangkan dalam komputer itu ada macam-macam maklumat."

Namun ia tidak terus menerus mematahkan semangat Syamsul. Buktinya, dalam tempoh mencari 'ketenangan' itu, dia dapat memberi fokus dan melahirkan ilham baru bercorak seram tetapi mempunyai mesej keagamaan, Munafik.

“Ada hikmah dalam perkara terjadi, bagusnya dalam tempoh itu saya mula mencari ilham baru.

“Selepas berehat, saya dapati perkara yang terjadi mematangkan saya sebagai manusia. Itu sebabnya lahir Munafik.

“Saya manusia lemah yang tidak pernah diuji seberat itu sebelum ini.

“Apa saya boleh buat selain berusaha dan berdoa perkara seperti ini tidak berulang lagi,”katanya.

Bagaimanapun, Syamsul berharap akan lebih berwaspada untuk melindungi karyanya daripada diciplak.

Katanya, dia akan memastikan keselamatan karya pada masa akan datang dipertingkatkan berkali ganda dari sebelumnya.

Lihat Komen
ADS