Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mad Max 'berdosa' di padang pasir tertua dunia?
Diterbitkan:  Mar 3, 2016 2:00 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

Selepas tiba-tiba berlaku hujan luar biasa di kawasan padang pasir Australia penerbit filem Mad Max: Fury Road terpaksa memindahkan lokasi penggambaran ke Namibia.

Untuk menjayakan filem itu mereka memerlukan landskap gersang dan kering kontang.

Hujan menukar kawasan padang pasir di Australia sebaliknya menjadikan kawasan berkenaan 'hijau'.

Justeru Taman Negara Dorob berhampiran bandar Swakopmund dipilih sebagai lokasi gantian filem dengan latar zaman serba kacau itu.

Namun hakikatnya kawasan kontang itu mempunyai ekosistem yang rapuh.

Penggambaran Mad Max: Fury Road - kata penduduk tempatan dan pencinta alam sekitar - telah merosakkan persekitaran semula jadi kawasan berkenaan.

Antara yang dikhuatiri terjejas atau terancam ialah sejumlah reptilia kecil dan pokok kaktus langka yang hidup di kawasan berkenaan.

Max Max: Fury Road mencatat kejayaan besar pada anugerah Oscar ke-88 minggu lalu.

Tanpa banyak publisiti diberikan filem arahan George Miller itu dicalonkan untuk 10 kategori dan memenangi enam daripadanya iaitu suntingan terbaik, reka bentuk produksi terbaik, rekaan kostum terbaik, mekap dan gaya rambut terbaik, adunan bunyi terbaik dan suntingan bunyi terbaik.

Kebanyakan penggambaran filem berkenaan - pada 2012 - dijalankan di Taman Negara Dorob yang pernah menjadi petempatan masyarakat Jerman di Namibia suatu ketika dulu.

Media tempatan pernah melaporkan rungutan pemandu pelancong bahawa kru filem berkenaan menjalankan penggambaran di kawasan sensitif membabitkan rangkaian gumuk (bukit pasir).

Mereka juga didakwa meninggalkan kesan tayar di kawasan yang sebelumnya tidak pernah terusik.

Kawasan itu adalah sebahagian daripada Padang Pasir Namib yang dianggap tertua di dunia dengan anggaran kewujudannya bermula antara 50 hingga 80 juta tahun silam.

Ia terbentang dari utara Afrika Selatan hingga ke Angola.

Di lokasi paling gersang, ia hanya menerima kurang daripada 1.3 sentimeter hujan setahun, mendorong hidupan di situ bergantung kepada kabus yang dibawa angin dari Lautan Atlantik.

Jika sesuatu kesan ditinggalkan - misalnya tayar kenderaan - ia boleh mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk lenyap.

Pemandu pelancong Tommy Collard berkata apa yang lebih memburukkan keadaan ialah kru penggambaran Mad Max: Fury Road menggunakan jaring untuk menghapuskan kesan tayar kenderaan masing-masing.

"Ia hanya memburukkan keadaan kerana jaring itu akan mencabut tumbuh-tumbuhan yang ada," katanya kepada AFP.

Bagaimanapun di pihak kerajaan mereka tidak merungut apa-apa pun.

Suruhanjaya Perfileman Namibia malah menerbitkan iklan satu muka surat dalam akhbar tempatan untuk 'membersihkan' kesalahan kru filem berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS