Sajak sekali lagi menjadi wadah ahli politik menzahirkan rasa hati mereka.
Kali ini Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim naik ke pentas membacakan sajak berjudul Kampung Tok Subuh.
Sajak itu dibacakan sempena kempen menyelamatkan Kampung Permatang Tok Subuh yang terletak di Seberang Prai Pulau Pinang.
Kampung itu menjadi perhatian kerana penduduknya diarah berpindah bagi membolehkan kawasan berkenaan dibangunkan.
Seramai 26 keluarga menetap di kawasan seluas kira-kira lima hektar yang terletak berhampiran Kawasan Perindustrian Kecil dan Sederhana Bukit Minyak di Sebarang Prai Tengah.
Tanah itu kini dipunyai syarikat Distinct Class Sdn Bhd selepas beberapa kali bertukar milikan.
Sim menggunakan kata-kata yang sering disebut penduduk kampung terbabit - serta mengikut loghat tempatan - untuk menghasilkan sajak berkenaan.
Berikut adalah sajak Kampung Tok Subuh dihasilkan Sim:
Dulu bila ada rimau merayau
takda seekoq mengaku dia pemilik
tapi la dah takda harimau
berpusu-pusu nak amik balik.
Dulu bila anaconda meronda
takda seekoq pun kata ini tanah depa
tapi la anaconda dah takda
anaconda kapitalis mai pula.
Dulu keliling hutan belukaq
kampung ini tok nenek kita yang bina
tapi la tanah dah rata
depa nak halau kita dari rumah!
Siapa yang lukis garis di tanah?
Secebis kertas pula jadi walinya
tanah ini rakyat yang punya
rakyat juga hakim sebenar!
Hoi anaconda kapitalis berhati batu
jangan ingat belakang kau saja ada menteri
kampung Tok Suboh bukan yatim piatu
belakang kami ada kerajaan negeri!
Hoi harimau kapitalis
pantang Tok Suboh mengundur
pantang lagi kami mengalah
kami tak minta rumah bungalow
kami hanya nak rumah ganti rumah!
Hari ini adalah tarikh terakhir diberikan mahkamah untuk penduduk kampung terbabit mengosongkan rumah mereka.
Bagaimanapun laporan menyebut mereka masih tetap bertahan di kawasan berkenaan dan berkawal bagi menghadapi kemungkinan operasi meroboh dijalankan.
Beberapa aktivis - termasuk dari luar Pulau Pinang - turut berada di situ sebagai tanda kebersamaan dengan penduduk tempatan.
Beberapa tokoh turut memberikan ucapan tanda sokongan kepada penduduk itu, termasuk Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Abdul Rashid Hasnoor, dan Mansor Othman (MP Nibong Tebal), selain Sim, ADUN Machang Bubuk Lee Khai Loon, Ahli Jawatankuasa Pemuda Parti Sosialis Malaysia Nik Aziz Afiq Abdul dan jurucakap Serikat Mahasiswa USM Jefry Musa.
Sim bukan ahli politik pertama bersajak untuk menyampaikan mesej kepada umum.
Sebelum ini ramai ahli politik - termasuk perdana menteri - turut menggunakan kaedah sama untuk menarik perhatian masyarakat.
Sajak #KgTokSubohDulu bila ada rimau merayau,Takda seekoq mengaku dia pemilik,Tapi la dah takda...
Posted by Steven Sim on Thursday, March 3, 2016
