Nama pelakon berdarah kacukan Cina - India Keith Foo mungkin dipertikaikan sesetengah pihak mengenai kesesuaian dia menggalas watak utama dalam teater Ombak Rindu yang bakal dipentaskan pada 22 April hingga 1 Mei nanti.
Ketika novel Ombak Rindu nukilan Fauziah Ashari itu diangkat ke layar perak pada 2011, pelakon utamanya adalah Aaron Aziz yang membawa watak Hariz.
Justeru, menjawab kepada keraguan yang timbul, Foo menjelaskan dia tidak sabar untuk mendengar komen daripada penonton mengenai lakonannya dibandingkan denan Aaron.
“Sejujurnya, saya terbuka untuk kritikan, malah benar-benar menunggu komen negatif daripada penonton kerana saya percaya menerusi kritikan, kita dapat belajar kekurangan seterusnya memperbaiki diri.
“Komen positif akan saya simpan dan yang negatif diterima dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman teater berkenaan di Istana Budaya baru-baru ini.
Namun, harus juga diingatkan, kurang adil sekiranya kita membandingkan lakonan seorang aktor untuk filem dan teater kerana wujudnya beberapa perbezaan dari segi penyampaian.
Untuk melakonkan watak Hariz dalam teater Ombak Rindu, Foo bukan hanya bimbang kerana memegang teraju utama malah dia yang pernah menempa nama di Indonesia itu juga sebenarnya terpaksa berdepan dengan 'bayang-bayang' sendiri.
Komitmen 200 peratus
Sebenarnya, Foo, 33, mengakui dia mengalami perasaan gemuruh sekiranya berada di atas pentas. Namun disebabkan perasaan itu juga dia bersetuju menyahut cabaran untuk menjejakkan kaki buat kali pertama di pentas berprestij berkenaan.
“Memanglah pada awalnya saya berasa tertekan kerana teater adalah satu platform baru untuk saya.
“Malahan, saya juga takut untuk berhadapan dengan penonton sewaktu berada di atas pentas tetapi tawaran seperti ini adalah satu cara untuk saya menghilangkan gemuruh itu,” katanya.
Demi memastikan persembahan terbaik, Foo berazam untuk memberikan hingga '200 peratus' komitmen terhadap pementasan Ombak Rindu .
Foo berkata, dia juga sanggup menolak sejumlah tawaran berlakon disebabkan naskhah yang akan di arah oleh A Aris A Kadir itu.
Lebih banyak konflik
Sikap Foo dilihat lebih optimis apabila dia tidak kisah sekiranya dianggap sebagai pilihan kedua selepas Aaron.
“Memang pilihan bagus sekiranya Aaron yang membawa watak berkenaan kerana dia lebih memahami karakter dan jiwa Hariz.
“Tetapi, saya percaya setiap orang ada kekuatan masing-masing dan cara untuk mewarnai watak yang diberikan.
“Seandainya Aaron diberi watak utama dan saya perlu bergandingan dengannya pun saya tidak kisah kerana secara tidak langsung boleh belajar daripadanya.
“Begitu juga dengan pelakon wanita, saya tidak kisah sama ada dia popular atau baru,” katanya.
Novel Ombak Rindu bukan hanya satu, tetapi tiga edisi kesemuanya dan pementasan berkenaan merangkumi siri novel pertama hingga ketiga.
Pementasan teater
Ombak Rindu
pula menjanjikan lebih banyak konflik dalam diri Izzah, watak yang pernah dijayakan oleh Maya Karin (
gambar
) dalam filem sebelum ini.
Bagaimanapun, hanya 10 peratus babak daripada filem Ombak Rindu diadaptasi ke teater ini dan selebihnya adalah kesinambungan novel kedua dan ketiga.
Antara barisan artis lain yang akan turut menjayakan naskhah Ombak Rindu adalah Karl Shafek, Izzue Islam, Zaidi Omar, Aris Lufias dan Ameer Forteen.
Biarpun mengambil tempoh seminggu sebelum bersetuju memegang watak berkenaan, Foo dilihat bijak mencari peluang dengan tawaran yang diberi.
“Saya mahu menggunakan platform ini sebaik mungkin untuk membuktikan Keith Foo bukan hanya boleh berlakon drama dan filem.
“Tetapi saya boleh membawakan sesuatu yang berbeza dan inilah dia,” katanya.
