Berlakon sudah, melawak pun sudah. Namun apabila mencuba bidang baru sebagai penyampai radio Sinar FM , Shuib Sepahtu berkata mereka mendapat pengalaman baru - kena maki.
Memang tidak semuanya manis. Begitulah takdir dihadapi oleh kumpulan Sepahtu apabila mereka diberi tanggungjawab menggalas peranan sebagai penyampai radio.
‘Beban’ itu kata Shuib, dirasai terutama apabila dia bersama dua lagi anggota Sepahtu Jep dan Rahim, mengambil alih segmen yang sejak sekian lama dikendalikan oleh penyampai terdahulu.
“Menjadi penyampai radio dan menggantikan personaliti yang sudah berkecimpung hampir sedekad untuk segmen berkenaan bukan tugas mudah.
“Pendengar memaki-hamun kami pada bulan pertama menerusi ruang komen di Facebook,” katanya kepada Malaysiakini selepas majlis pelancaran single kumpulan Indonesia, Radja di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kini pendengar makin terima
Selama sembilan tahun pendengar segmen Sinar Pagi dibuai dengan keletah tiga juruhebah terdahulu, Raja Azura, Salih Yaacob dan Khairil Rashid.
Segmen itu bermula pada 6 hingga 10 pagi setiap Isnin hingga Jumaat.
Namun, ekoran dari pertukaran itu, Raja Azura diberi notis pemberhentian, Salih ditukar ke segmen petang dan Kharil pula menumpukan tenaganya di sebuah syarikat iklan radio.
Disebabkan sudah ‘terbiasa’ dengan senario pagi selama bertahun-tahun, mungkin pendengar Sinar FM berasa agak keberatan untuk menerima pembaharuan dilakukan.
Asam garam itulah yang terpaksa didepani kumpulan Sepahtu, termasuk Shuib ketika mula mengendalikan Sinar Pagi sejak Disember 2015.
“Kru pagi berkhidmat selama bertahun di stesen radio berkenaan, tiba-tiba tukar orang baru, apa yang akan dirasai oleh pendengar?
“Biarpun orang itu bagus sekalipun, khalayak masih akan memberi komen. Sebagai contoh, cuba kita bayangkan setiap hari kita makan nasi lemak tetapi tiba-tiba tukar sandwic yang tidak kena dengan tekak," katanya.
Cieya cieya cieyaa!! @shuibsepahtu @rahimr2 @sinarfm @sepahtufcofficial #SepahtuSinar
A video posted by Jepsepahtu (@jepsepahtu) on
Bagaimanapun situasi mencabar itu tidak berpanjangan.
Apabila masuk bulan kedua dan ketiga, pendengar sudah boleh menerima mereka.
Malah ketika ini lawak dan aksi mereka dalam Sinar Pagi semakin mendapat sambutan.
Shuib berasakan, Sepahtu harus diberi peluang untuk membuktikan mereka mampu berada pada tahap lebih baik.
“Jangan terus hentam, apabila kami diberi peranan menjadi penyampai radio, berilah kami peluang terlebih dulu.
“Untuk sesiapa yang baru dalam dunia radio, mereka belum tentu boleh menjadi bagus dalam sekelip mata.
“Bayi baru lahir tidak terus berjalan, tetapi merangkak. Begitu juga kami biar perlahan tetapi mempunyai azam untuk menjadi penyampai radio nombor satu,” katanya.
