Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Filem apa yang boleh dihasilkan dengan peruntukan berjumlah RM250,000 dan tempoh untuk menyiapkannya hanya dua bulan? Jawapannya: Tulus Ikhlas .

Bagaimanapun, kesannya kepada penonton adalah mendalam.

Melalui cerita dua pemuda kurang upaya yang menjadi tukang urut penonton dibuai perasaan sedih dan hiba.

Kehidupan mereka adalah normal sehinggalah Adi dan Buyong - kedua-dua pemuda kurang upaya itu - bertemu dengan 'lelaki berkepala botak' bernama Rashid.

Pertemuan itu membawa kepada pengembangan plot yang lebih luas tetapi tidaklah terlalu kompleks. Sebab? Memang Tulus Ikhlas begitulah, dan jangan lupa juga 'modal' yang diberi kepada pengarah dan kru produksi cuma RM250,000 dan dua bulan, kan?

Sebenarnya kisah Tulus Ikhlas dikembangkan daripada satu iklan hari raya pada 2012. Melalui iklan Bernas itu dua kanak-kanak penghuni rumah amal digambarkan membuat perjalanan sendiri pulang ke kampung salah seorang daripada mereka.

Selepas tiket bas dan kereta api kehabisan, mereka memilih cara yang tersendiri untuk sampai ke destinasi iaitu 'menumpang secara haram' lori kecil.

Sumber terhad

Adi dan Buyong tiba di masjid pada pagi 1 Syawal.

Jika selepas - atau ketika - anda menonton perjalanan hidup Adi dan Buyong ini ada air mata yang mengalir, tentulah tidak menghairankan kerana cerita awalnya sendiri sudah membuat banyak dada sebak.

Pengarah Tulus Ikhlas , Hafiz Ibrahim banyak ketawa ketika menceritakan pengalamannya menyiapkan filem berkenaan.

Hafiz ( gambar ) yang tidak pernah mengarah filem sebelum ini berkata cabaran terbesar untuk menyiapkan Tulus Ikhlas adalah sumber kewangan dan waktu yang terhad.

"Dua bulan itu termasuk mencari pelakon, penggambaran, suntingan, pascaproduksi dan sebagainya.

"Ia memang suntuk tetapi kami berjaya membuktikan dengan kekangan begitu Tulus Ikhlas berjaya dihasilkan.

"Di mata saya sebagai pengarah, ada beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki tetapi respon penonton pula begitu baik dan positif," katanya.

Walaupun pertama kali mengarah filem, Hafiz sebenarnya bukanlah begitu asing dengan dunia itu kerana sebelum ini dia bergelumang dengan bidang pengiklanan.

Sertai festival filem luar

Individu yang bertanggungjawab membawa dia ke dunia itu - dan kemudian memberanikan diri mengarah Tulus Ikhlas - tidak lain adalah Allahyarham Yasmin Ahmad.

Justeru dalam Tulus Ikhlas unsur 'semangat' Yasmin dapat dilihat pada watak anak taukeh kedai urut yang mempunyai hubungan mesra rentas bangsa dengan Buyong.

Melihat sambutan yang memberangsangkan setakat ini Hafiz berkata, dia bercadang untuk menghantar Tulus Ikhlas menyertai Festival Filem Zurich dan satu lagi Bahamas.

Sementara itu, penulis skrip Al Jafree Md Yusop ( gambar ) berkata faktor masa juga menjadi cabaran kepadanya kali ini.

Biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk menyiapkan sesebuah skrip filem Tulus Ikhlas mengubah kelaziman Al Jafree.

Untuk Tulus Ikhlas dia bergelut sebelum berjaya menyiapkannya dalam tempoh dua minggu.

"Cuma saya selalu bekerjasama dengan Hafiz, maka saya boleh memahami dia dan dia juga memahami saya. Maka proses itu dapat berjalan lancar," katanya menceritakan keserasian antara mereka.

Dan kedua-dua mereka bersependapat bahawa Tulus Ikhlas adalah antara langkah awal untuk menghasilkan filem-filem lain yang lebih bermutu.

Watak Adi dilakonkan oleh Mohd Safiq Arshad manakala Buyong diperanankan Azmi Bahron. Turut membintangi Tulus Ikhlas ialah Azri Iskandar, Rahim Omar, Marissa Yasmin serta pengarang eksekutif di Astro Awani, Noor Azam Shairi.

Lihat Komen
ADS