Ketika seorang lelaki sedang menanti hukuman dijatuhkan terhadapnya, dia berharap ada cara yang boleh membuat hakim bersimpati kepadanya.
Didakwa - dan didapati bersalah - memiliki senjata api, Brian Earl Taylor, 21, cuba cuba mengambil hati hakim dengan menyanyi.
Lagu pilihannya - Hello - yang dipopularkan penyanyi Britain, Adele.
Taylor yang berasal dari Michigan, AS ditangkap pada November 2015 atas kesalahan memiliki senjata api dan menggunakannya untuk merompak. Dia kemudian dibicarakan dan didapati bersalah minggu lalu.
Media MLive melaporkan, Taylor melakukan ‘persembahan’ itu disaksikan orang awam dan pegawai mahkamah, termasuk hakim Mahkamah Daerah Washtenaw Darlene O’Brien.
Taylor dan dua lagi tertuduh didakwa mengacukan senjata api ke atas mangsa berusia 23 tahun.
Mangsa juga dipaksa masuk ke sebuah kenderaan sebelum dibawa ke apartmennya dan dirompak.
Bagaimanapun, sesuai dengan situasinya yang akan dihukum, Taylor mengubah suai lirik Hello untuk menggambarkan nostalgia dan penyesalan dihadapinya.
“Hello there, your honor. I want to say I’m sorry for the things I’ve done and I’ll try and be stronger in this life I chose, but I want you to know — that door, I closed.
“And your honor I’m sorry, sorry, sorry, sorry,” seperti yang dinyanyikan Taylor.
Rayuan Taylor tidak berakhir di situ saja.
Dia kemudian memohon maaf secara terbuka kepada ibunya dan mangsa dalam persembahan berdurasi kira-kira seminit itu.
Dalam pada itu, Taylor turut mengambil kesempatan berkenaan untuk menyatakan perancangan masa depannya kepada hakim Darlene.
“Saya merancang untuk mendapatkan sekeping ijazah dalam pengurusan perniagaan dari Universiti Michigan Timur dan melakukan lebih banyak kerja amal untuk gereja.
“Saya mahu menunjukkan teladan kepada adik lelaki dan menjadi pemberi nafkah untuk ibu,” katanya.
Bagaimanapun, Darlene tidak terkesan dengan rayuan Taylor walaupun berpendapat lelaki itu mungkin seorang yang ‘bijak.’
Dalam penghakimannya, Darlene menolak rayuan Taylor untuk menjalani penjara selama 36 bulan bagi memudahkannya untuk menamatkan ijazah pada usianya 26.
Sebaliknya, hakim Darlene menegaskan, had minimum hukuman bagi kesalahan jenayah seperti itu adalah dari 50 hingga ke 100 bulan.
Taylor dijatuhi hukuman dua tahun penjara atas kesalahan membawa senjata dan 18 ke 15 tahun bagi pertuduhan merompak.
Menurut laporan, lima tuduhan tambahan ke atas Taylor digugurkan.
Bagaimanapun, sebelum menjalani kesemua hukuman atas kesalahan membawa senjata, Taylor terlebih dahulu harus menjalani hukuman lain atas kesalahan melanggar parol sebelumnya.
