Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Hafidz Musa mula berminat kepada motosikal sejak dia melihat seorang sahabatnya begitu asyik dari siang ke malam membelai serta menunggang Honda C70.

Dari situ, perlahan-lahan dia juga mula mengimpikan sebuah motosikal jenis sama untuk dirinya.

Pucuk dicita ulam mendatang. Hasil kegigihan belajar keputusan peperiksaan membawa dia berada bersama kumpulan pelajar terbaik dalam kelas.

Menghargai kejayaan itu datuknya Arshad Mat Kassim menghadiahkan sebuah motosikal idaman. Dan dia masih ingat lagi nombor pendaftarannya: AT 4400.

“Mula-mula apabila melihat kawan saya ke hulu ke hilir dengan Honda C70, terdetik di hati: Alangkah bagusnya jika saya ada motosikal seperti itu.

“Suatu hari selepas pulang dari sekolah, saya terkejut kerana ada C70 baru diparkir di pekarangan rumah," katanya kepada Malaysiakini.

Kata Hafidz dia menggunakan motosikal berkenaan selama beberapa tahun.

Kini di BSVN

Hafidz, 33, adalah pelukis muda yang gemar bereksperimen dengan media. Sejak tahun lalu dia mula cenderung melukis motosikal pelbagai bentuk dan model dengan 'garisan-garisan radikal' pula.

Garisan Radikal juga adalah nama diberi untuk lukisannya yang mengandungi pelbagai teknik garisan seperti melintang, scribble dan cross hatching untuk menjadikan karya Hafidz lebih realistik.

Lukisan Hafidz sedang dipamerkan di Balai Seni Visual Negara di Kuala Lumpur.

Nama Hafidz mungkin belum cukup terkenal di dalam negara, tetapi kelainan pada karyanya itu sudah membawa dia berjinak-jinak untuk menempa nama di luar negara.

Pada 2015, di sebalik kekangan kewangan Hafidz menyertai Festival Midnight Garage - acara tahunan meraikan dunia permotoran klasik - di Paris.

Festival itu menghimpunkan peminat motosikal klasik dari Jerman, England, AS selain Perancis.

Bukan itu saja, karya dihasilkannya turut mendapat perhatian syarikat permotoran seperti Triumph serta majalah Tank Moto baru-baru ini.

Pengalaman luar negara

Mengenai Garisan Radikal, karya Hafidz tampil dengan tema motosikal pelbagai model dan jenama, termasuk Triumph, Ducati, Honda, BMW dan Harley Davidson.

Hafidz bukanlah pelukis sepenuh masa kerana kerjaya sebenarnya ialah ketua pereka konsep di sebuah syarikat rekaan animasi.

Memilih untuk melakukan dua pekerjaan dan menyambut seruan kerajaan, Hafidz bermula dengan lakaran santai dan bersahaja di atas kanvas atau kertas.

“Saya memilih untuk melakukan dua pekerjaan kerana sedikit sebanyak terjejas dengan keadaan ekonomi negara.

“Bagi saya, ada baik dan buruknya dengan keadaan ekonomi sekarang.

“Dengan nilai matawang kecil bagi seorang pelukis seperti saya mungkin payah untuk pergi ke luar negara dan merasai sendiri pengalaman menjual karya di sana.

“Tetapi apabila karya dibeli dengan matawang dolar jumlah itu menjadi banyak apabila ditukarkan kepada ringgit," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS