Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Banyak pihak terutama di media sosial mempertikaikan pemilihannya sebagai pemegang watak utama dalam naskah teater Ombak Rindu yang akan dipentaskan pada 22 April hingga 1 Mei depan.

Menjawab kritikan berterusan terhadapnya, pelakon Uqasha Senrose bagaimanapun lebih selesa menganggap hal itu sebagai pembakar semangat.

Malah, pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 25 ini komited untuk memberikan yang terbaik dalam pementasan tersebut yang akan berlangsung di Istana Budaya.

“Jika dilihat, begitu banyak pihak yang mempertikaikan kebolehan saya untuk membawakan watak Izzah yang pernah dilakonkan oleh Maya Karin dalam filem sebelum ini.

“Sebagai pelakon, saya tidak boleh meminta penonton terus mempercayai kebolehan yang ada sebaliknya melihat dan menilai sendiri,” katanya yang mengakui tugasan itu paling mencabar sepanjang kariernya sebagai pelakon.

Gabungan tiga novel

Naskhah Ombak Rindu yang diangkat ke pentas teater adalah hasil nukilan penulis novel Fauziah Ashari.

Untuk Ombak Rindu itu, Fauziah tidak menulis satu tetapi tiga novel kesemuanya.

Ombak Rindu pernah difilemkan pada 2011 dengan teraju utama digalas Maya Karin dan Aaron Aziz.

Tampil sedikit berlainan daripada filem, penceritaan teater Ombak Rindu menggabungkan ketiga-tiga novel yang pernah dihasilkan oleh Fauziah itu.

Pementasan Ombak Rindu diarah A Aris Kadir dan skrip ditulis Rosminah Mohd Tahir.

Uqasha akan bergandingan dengan Keith Foo yang memegang watak Hariz selaku teraju lelaki utama.

Sebelum ini, Uqasha pernah dilamar buat pertama kali oleh Istana Budaya tetapi dia menolaknya dengan alasan belum berkeyakinan.

Namun, menurut Uqasha, sekarang adalah waktu paling sesuai untuk dia menyahut cabaran berlakon di pentas teater.

“Selagi tidak mencuba, saya tidak akan mengetahui kebolehan diri, oleh itu keputusan diambil untuk menguji kemampuan.

“Dengan menerima tawaran ini, saya juga dapat mengembangkan bakat dalam lakonan,” katanya.

Bawa dua watak

Untuk makluman, Uqasha tidak hanya akan membawakan watak Izzah tetapi juga Suri - satu watak yang mempunyai dua sisi karakter berbeza.

Penting bagi Uqasha untuk melakonkan dua watak berkenaan dengan berkesan kerana padanya, di situlah cabaran bermula.

Watak Izzah merupakan seorang wanita yang lemah-lembut, jujur dan bergantung harap pada suaminya, Hariz.

Suri pula seorang wanita yang hilang ingatan dan bersifat kasar.

Dengan memikirkan watak dan babak yang perlu digalas nanti, Uqasha menyatakan dia mengambil tempoh seminggu sebelum memberikan persetujuan.

“Bila saya baca skrip, ya Allah, ia cukup berat tetapi saya sudah fikirkan secara mendalam.

“Cabaran termasuk pada bahagian perlu bermonolog selain perlu menukar watak Izzah yang lembut menjadi brutal.

“Selain itu, pada satu lagi babak pula saya perlu lakukan adegan dirogol. Saya tidak mahu menggunakan pelakon gantian supaya dapat menjiwai dan mempamerkan hasil yang memuaskan,” katanya.

Lihat Komen
ADS