Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Samsul Zakaria Sharipman baru saja menamatkan persekolahan tingkatan lima di Sungai Siput. Ketika itu sekitar tahun 1985.

Sementara menunggu tempat lain untuk menyambung pengajian Samsul bekerja di sebuah kilang papan di Salak yang terletak tidak jauh dari rumahnya di Kemuning Estate.

Tidak ada apa yang menarik sangat pun di kilang papan yang sudah dilupakan namanya itu, kecuali seorang lelaki 'unik'.

"Aku tak berani pandang muka dia lama-lama," kata Samsul kepada Malaysiakini .

Remaja tersebut mempunyai alasan tersendiri untuk 'takut' memandang lelaki berkenaan. Dan di kalangan pekerja kilang papan itu, bagaikan sudah ada persefahaman tidak bertulis untuk sama-sama tidak bercakap sesedap mulut tentang lelaki itu.

"Aku takut kalau pandang muka dia lama-lama, aku tak boleh tahan gelak. Nanti tak pasal-pasal aku kena tengking," sambung Samsul.

Lelaki itu ialah Mohd Yusof Abdul Hamid yang digambarkannya sebagai sentiasa merendah diri dan tidak sombong. Namun dia selalu kelihatan serius.

Santan Berlada pengubat lara

Dalam Santan Berlada Mohd Yusof adalah satu daripada watak yang mewarnakan siri komedi televisyen RTM itu. Namun dia tidak dikenali dengan nama asalnya tetapi nama baru - Mr Os.

Dengan loghat Perak yang pekat anak kelahiran Kuala Kangsar itu menghiburkan ramai manusia dengan keletahnya. Selain berlakon televisyen dia turut membintangi filem, serta merakamkan suara dalam album.

Apa pun wadah yang digunakan Mr Os, ia tentu menghiburkan.

Ketika sebahagian besar rakyat Malaysia hanya ada RTM 1 dan RTM 2 untuk menjadi santapan mata berhibur di era 1980-an, ada siri komedi yang ditunggu-tunggu ramai - Santan Berlada .

Dalam Santan Berlada ada Fauziah Nawi melayan kerenah Khairul Azhar, Ali Mamak (atau nama sebenarnya Jantan Osman) serta Acappan. Di situ juga muncul Mr Os.

Saban minggu siri komedi itu ditunggu ramai kerana di situ penonton dapat ketawa dan berhibur. Ketika itu belum ada kemelut politik dan ekonomi serumit sekarang. Tetapi pada Santan Berlada, ada juga sindiran dan kritikan yang diselitkan penulis skripnya.

Justeru itu namanya Santan Berlada - lemak tetapi ada pedas.

Nama Mr Os terus meningkat naik. Daripada berlakon siri komedi televisyen beliau mendapat peluang beraksi untuk filem. Antara lakonannya ialah O.K. (Orang Kampung Otak Kimia) pada 1990, Cikgu Romantik (1993), Hero (1989) dan Adik (1990).

Dekat kepada agama

Kepercayaan penerbit dan pengarah kepada bakat Mr Os mendorong mereka menghasilkan filem menggunakan namanya sendiri sebagai judul, iaitu Mr Os pada 1987.

Pada suatu tempoh, orang ramai mula 'terlupa' kepada susuk pelawak yang jarang mengecewakan itu. Puncanya kerana nama beliau jarang muncul di televisyen atau filem.

Mr Os rupa-rupanya mencari rezeki dengan teksi.

Pada 2011 nama beliau sekali lagi menjadi sebutan ramai apabila muncul sebagai juara Maharaja Lawak Mega dengan berpasangan dengan Abon - membentuk Osbon.

Kemudian namanya kembali mendatar dan hanya sesekali mendapat tempat di media massa. Antaranya untuk sebab yang tidak sepatutnya, seperti dilaporkan kononnya meninggal dunia.

Baru-baru ini wajahnya terpampang di beberapa poster program ceramah agama anjuran parti politik dan pertubuhan bukan kepartian. Mr Os kelihatan bukan seperti Mr Os yang selalu kita lihat.

Dia berjubah, berkopiah dan berjanggut. Ia menandakan tumpuannya semakin terarah kepada aktiviti keagamaan.

Bagaimanapun semalam kita dikejutkan dengan berita pemergian Mr Os, 55.

Pelawak lebih dihargai

Betapa ironisnya - ketika kematian Mr Os benar-benar berlaku, bertebaran pula khabar yang entah dari mana mula tiupannya yang menafikan beliau meninggal dunia.

Respon daripada orang ramai agak mengejutkan.

Daripada personaliti televisyen, orang politik dan rakyat biasa ramai yang sedih.

Ia kira-kira sama seperti pemergian juara Raja Lawak muzim pertama, Yussry Edoo - atau Yus - pada 30 November 2015.

Yus menghembus nafas terakhir secara mengejut. Berita itu mendapat reaksi sedih luar biasa daripada orang ramai. Satu demi satu kebaikan Yus diceritakan.

Hidup ini biasanya memang ironi. Pelawak yang membuat kita ketawa akhirnya menyentuh hati dan membuat kita menitiskan air mata.

Dari sisi lain nampaknya masyarakat semasa semakin menghargai sumbangan pelawak. Jika dulu pelawak kurang diambil kira atau tidak dipandang serius, kini mereka kelihatan lebih dihargai, manakala kehilangan diratapi.

Keadaan itu berlaku ketika sebahagian daripada masyarakat semakin mual dengan telatah ahli politik yang seolah-olah tidak jemu mempergunakan kedudukan serta rakyat demi mencapai matlamat masing-masing.

Menghibur, bukan jual agama

Lebih daripada itu sesetengah ahli politik seperti mahu mengambil tempat pelawak untuk menjadi badut dan melawak - selepas mereka diundi untuk menjadi wakil kepada rakyat yang memilih mereka.

Justeru ada 'jenaka hitam' di kalangan sesetengah orang yang berharap segera berlaku kematian di kalangan wakil rakyat kerana di sisi lain, kesedihan itu akan membawa curahan rahmat - yang sementara - di kawasan tertentu.

Dalam keadaan itu kita pun bertanya - apakah kesedihan dengan kehilangan pelawak ini kita alami kerana kita semakin sedar 'dunia' yang dicipta mereka itu lebih tulus dan jernih berbanding politikus yang kebanyakannya sekadar menjaja mimpi dan kata-kata - atau lebih keji - menjual agama demi meraih sokongan?

Selamat pulang ke pangkuan Maha Pencipta, Mr Os. Terima kasih kerana menghiburkan kami. Dan entah berapa kali jenaka itu membantu kami melupakan seketika sakit hati kepada sepak terajang politik selalu menjemukan.

Ya, musim deghoyan (durian) akan datang dan pergi. Dan sebahagian kami masih ingat benar sikap orang Melayu itu:

Bile musim deghoyan

deme mule eksyen

jangan silap sikit

nanti deme tengking.

Kalau musim deghoyan

rame berani nampor

apa deme nak heran

saman boleh bayor

Juga lirik ini:

Duit deghoyan - yang tua nak ke mekah

yang muda gatey nak menikah.

Musim deghoyan rame sedare mare

bina nebeh sekor tak nampak muke.

Semoga roh Mr Os dicucuri rahmat dan damai di alam sana.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS