Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Irma Bule 'simbol' realiti hidup artis kampung
Diterbitkan:  Apr 9, 2016 1:39 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

Secara tiba-tiba nama Irma Bule menjadi sebutan ramai. Bukan saja di Indonesia, malah di seluruh dunia.

Mungkin di negaranya nama Irma dikenali tetapi insiden berlaku pada 3 April lalu membolehkan namanya menjadi perhatian.

Malangnya Irma tidak sempat menikmati kemasyhuran itu kerana pada 4 April dia menghembus nafas terakhir di sebuah hospital di Karawang, Jawa Barat.

Irma terkorban gara-gara beraksi dangdut maut bersama ular tedung di atas pentas.

Hakikatnya bukan Irma seorang di Indonesia begitu. Didorong kemiskinan ramai 'artis' terpaksa memilih jalan berbahaya semata-mata untuk 'memasarkan' diri masing-masing.

Irma hanya secebis daripada realiti sebenar di sana.

Baru berusia 26 tahun, Irma bukan penyanyi terkenal sebelum ini. Selepas menamatkan pengajian di sekolah menengah rendah Irma sudah menjadi artis dangdut setempat.

Dia popular dengan gerakan dangdut "goyang ular". Di luar pentas, Irma adalah ibu kepada tiga anak.

Dianggap sesetengah pihak sebagai hiburan kelas bawahan genre dangdut sebenarnya dimanaipulasi menjadi 'umpan' pada ketika tertentu. Musim kempen pilihan raya, misalnya.

Selama ini banyak parti politik mengundang penyanyi dangdut hadir di majlis masing-masing demi memastikan menarik kehadiran orang ramai.

Ada ular bayar lebih

Penyanyi itu kebanyakannya terdiri daripada gadis atau wanita muda dari kalangan keluarga miskin atau kurang berada.

Mereka biasanya dibayar sedikit saguhati untuk persembahan yang dibuat.

Rakan Irma, Yeyen, memberitahu biasanya upah yang dibayar kepada penyanyi dangdut setempat kurang daripada RM80.

Jika penonton berasa terhibur, mereka mungkin akan menghulurkan tip - dan itu akan menjadi milik penyanyi berkenaan.

"Jika penyanyi tersebut membuat persembahan dengan ular, penganjur akan membayar lebih sedikit kerana biasanya kehadiran juga akan lebih," katanya kepada media tempatan dan dipetik Time .

Ia memang dapat difahami kerana mereka bukanlah penyanyi benar-benar terkenal seperti Inul Daratista ( gambar ) yang popular dengan aksi goyang gerudi itu.

Malah sebelum menjadi terkenal seperti sekarang Inul memulakan kerjayanya kira-kira sama seperti Irma itulah.

Dengan aksi 'menggerudi' itu perlahan-lahan Inul mencuri perhatian sehingga ke peringkat atasan dalam industri hiburan.

Sebagai penghibur bawahan persaingan untuk mendapat tawaran penganjur dan menarik peminat memang tinggi.

Dalam keadaan begitu kreativiti diperlukan walaupun berbahaya.

Ular jadi pemagar

Selain aksi bersama ular, pendekatan lebih sering - dan kurang berbahaya - diambil ialah mengenakan pakaian seksi.

Dalam temubual dengan portal Detik.com ibu Irma, Encum memberitahu anaknya yang dipanggil Eneng mula beraksi dengan ular sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, kata Encum, biasanya ular yang dipilih tidak berbisa dan mulutnya diikat dengan pita pelekat serta di bawah pengawasan pawang ular.

"Mungkin Eneng (Irma) tidak tahu ular yang ada bersamanya itu ada bisa," katanya.

Ada juga pendapat mengatakan ular berkenaan sengaja dibawa sebagai 'pemagar' Irma daripada disentuh penonton.

Wartawan Indonesia, Made Supriatma, bagaimanapun berpendapat ada kisah lain yang lebih menyedihkan di sebalik kematian Irma.

"Irma adalah gambaran wanita Indonesia yang ditakdirkan berada di peringkat bawah masyarakat.

"Dia berusaha gigih dan menggunakan segala yang ada untuk hidup. Irma tidak layak menjadi korban di sebalik tajuk sensai berita," katanya dipetik Time .

Lihat Komen
ADS