Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Boboiboy The Movie filem anak-anak didik dewasa

Pada 2007, abah saya bercerita bagaimana dia mengundurkan diri daripada satu projek animasi. Katanya, projek itu bakal gagal.

Sementelah mereka enggan menerima pendapat abah, jalan terbaik pada waktu itu adalah berundur sebelum terlambat.

"Mereka sepatutnya, memperkenalkan projek itu sedikit demi sedikit di media supaya ia dikenali ramai sebelum menjadikan ia filem yang lengkap," kata abah.

Dan resipi itulah kiranya menjadi kejayaan kemuncak Boboiboy The Movie keluaran Animonsta Studio.

Sehingga ulasan ini digarap, Boboiboy The Movie mengutip lebih RM14 juta daripada tayangan di seluruh negara.

Bermula dengan siaran televisyen sekitar 2011, siri itu berkembang dan semakin mendapat tempat di hati penonton khasnya kanak-kanak.

Melihat kepada perkembangan itu, tidak hairanlah sekiranya Boboiboy The Movie mampu bersaing dengan filem tempatan yang lain.

Penonton dibawa mengembara

Kualiti yang boleh dipuji pada filem itu bukan sahaja dari segi animasi saja, tetapi perkembangan watak, skrip, plot, mesej dan jenakanya yang baru dan segar.

Menonton filem ini walaupun dengan keluarga tidak sedikit pun menerbitkan perasaan canggung, malah kedewasaan yang dipaparkan dapat dihayati sepenuhnya.

Apa yang menyebabkan sesuatu filem berjaya? Apabila ia mampu membawa penonton menggembara melalui setiap tutur kata, aksi, kelucuan dan kesedihan secara total. Dan inilah yang terdapat dalam Boboiboy The Movie .

Lawak jenaka yang segar, mampu membuat - bukan sahaja anak-anak, tetapi ibu bapa - ketawa. Debaran dan kesedihannya juga tidak terkecuali menyentuh hati.

Mesej murni yang dipaparkan seperti sifat setiakawan, keadilan, belas ihsan, tidak berputus asa dan jangan lari daripada masalah diadun dengan baik.

Tidak keterlaluan rasanya mengharapkan unsur itu memberi impak positif kepada penonton khasnya kanak-kanak.

Watak Gopal boleh dikira mewakili hampir setiap daripada kita. Pada Gopal ada sikap takut dan sangsi kepada perubahan, kurang keyakinan pada kemampuan diri namun boleh cemerlang hasil dorongan orang lain.

Memang sepatutnya kita begitulah, sifat takut, sangsi, rendah diri itu harus dibuang jika ingin memacu perubahan dengan penuh kejayaan. Dan kejayaan itu ditempa dengan keterlibatan semua pihak.

Filem untuk mengajar

Antara babak paling sinis dalam Boboiboy The Movie ialah apabila ia menyentuh sifat kemaruk selfie yang semakin menular di kalangan masyarakat.

Dan lihatlah juga, bagaimana filem itu mengajar anak-anak tentang sifat kebenaran menerusi watak Papa Zola.

Pemilihan nama watak-watak jahat juga wajar diberi pujian. Menggunakan istilah-istilah tempatan dan loghat daerah membuat ia berasa dekat dengan penonton.

Cuma agak sedikit aneh, dalam filem itu watak Gopal dan Papa Zola dirasakan amat menyerlah berbanding watak utama.

Boboiboy The Movie walau hanya animasi, tetapi gabungan watak daripada setiap lapisan masyarakat kita - Melayu, India dan Cina - wajar dijadikan contoh.

Beginilah baru layak dipanggil filem Malaysia. Sudah jarang perkara ini berlaku di dalam filem kita. Filem bukan sahaja medium untuk hiburan, tetapi ia mampu menjadi wadah mendidik dan menyatukan masyarakat.

Biarlah sentimen rasisme itu hanya dimainkan politikus, dan jadikanlah filem sebagai salah satu tali mengharmonikan kembali masyarakat yang sedang hanyut dalam sifat "kau, kau" dan "aku, aku".

Terima kasih untuk filem yang hebat ini!


MUHD IQBAL mekanik dan pakar bateri kapal terbang yang menikmati manga, filem dan sastera. Kini berulang-alik antara Doha dan Sepang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS