Menghasilkan album fizikal bukan bermakna band indie Bittersweet mahu dianggap ketinggalan di belakang arus pemodenan, sebaliknya melihat kaedah itu dapat lebih mendekatkan mereka dengan peminat.
Antara tujuan mereka, kata kumpulan yang berdiri teguh atas genre pop rock British itu, ialah mahu mengenali dengan lebih mendalam kriteria peminat yang sesetengahnya sanggup bergolok bergadai untuk mendengar muzik kegemaran mereka.
“Dari situ kami boleh nampak graf pendengar Bittersweet, terutama mereka yang menggelar diri mereka peminat kami,” kata gitaris Bittersweet, Herri.
Selain Herri - yang juga anggota asal Bittersweet - kumpulan itu turut dianggotai lima lagi anak muda iaitu Fizan yang menadi vokalis, Moon (gitaris), Emai (keyboard), Wann (bass) dan Irfan (dram)
Sempat menyepi daripada industri aktif selama empat tahun, kini Bittersweet muncul dengan album terbaru, BTSWT , sempena ulang tahun ke-12 band itu ditubuhkan.
Boleh dibelek, disimpan
BTSWT diedar Warner Music dan didatangkan dalam bentuk cakera padat dan versi digital.
Tidak setakat itu saja, kumpulan yang berasal dari Ipoh, Perak itu turut merancang mempromosi album berkenaan menerusi piring hitam dan kaset - suatu medium yang semakin langka ketika ini.
“Untuk mendengar piring hitam, kaset atau cakera padat, peminat perlu buka dan pasang alat khusus, baru mereka dapat menikmati muzik.
“Jadi penghargaan untuk bahan seperti itu lebih tinggi apabila material boleh dipegang, dibelek dan disimpan,” katanya.
Sementara itu penggemar Bittersweet memang memaklumi band mereka sering menyampaikan lagu dalam bahasa Inggeris.
Tidak berniat mahu merendahkan martabat bahasa Melayu, Bittersweet percaya pengaruh bahasa yang mudah difaham semua itu boleh menjadi pendekatan terbaik untuk meluaskan pasaran sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Kami lebih selesa dengan bahasa Inggeris, namun begitu dalam setiap album kami turut selitkan lagu dalam bahasa Melayu,” kata Herri.
Bittersweet adalah band yang tampil membawa irama kedengaran seakan kumpulan muzik lagenda Britain, Oasis, The Stone Roses dan The Beatles.
Mereka menerbitkan album pertama, Perfect Match pada 2006. Lima tahun kemudian album kedua pula muncul iaitu Empire’s Transition.
Band yang popular dengan lagu Capital E itu pernah beraksi di pentas luar negara seperti di Jakarta, Bandung, Singapura dan India.
Mahu kualiti, harga sepadan
Malah, mereka memasang harapan dan tidak menolak sekiranya dapat bergerak lebih jauh selepas melahirkan album BTSWT.
Sebagai permulaan, mereka merancang untuk mengadakan konsert jelajah dalam negara selepas sambutan Aidilfitri nanti.
Jika dilihat, album Bittersweet menemui peminat hanya selepas beberapa tahun dan ia dilakukan dengan bersebab.
Kata Herri, memilih untuk menerbitkan album selang beberapa tahun adalah dengan mengambil kira langkah promosi.
Malah, bagi indie band seperti Bittersweet, katanya, kos menerbit album yang boleh mencecah hingga RM20,000 juga boleh dianggap terlalu tinggi.
“Kami mahu memastikan kualiti album yang dihasilkan sesuai dengan harga yang dibayar oleh peminat.
“Ada juga waktunya ketika mula menapak dalam industri, kami mengalami kekangan kewangan wang hingga terpaksa mengambil upah serendah RM30 untuk satu persembahan, semuanya semata-mata untuk mengumpul modal merakam album.
“Tetapi kami mengamalkan disiplin mengumpul wang dengan cermat dan itu yang membuatkan kami mampu bertahan hingga sekarang.
“Selama 12 tahun kami buat perkara sama, dan kesabaran menjadi kunci utama,” katanya.
