Seni & Hiburan Malaysiakini

'Dia satu-satunya Sudirman kita'

Nadia Azam  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketika ini 30 tahun lalu Jalan Chow Kit berubah wajah gara-gara seorang penghibur bernama Sudirman Haji Arshad.

Laluan yang menjadi jantung ibu kota yang biasa sibuk dengan kenderaan bertukar menjadi pentas konsert mega secara percuma.

Dan orang ramai berpusu-pusu mahu menyaksikan persembahan Sudirman. Siapa yang tidak kenal penyanyi berkenaan pada zaman itu boleh dianggap sebagai seseorang yang hidup dalam dunia yang aneh.

Walaupun sudah tiga dekad berlalu, detik berkenaan masih terpahat di ingatan ramai.

Anak Temerloh di Pahang itu ketika hayatnya memang cukup terkenal dengan merendah diri, patriotik malah kelibatnya di atas pentas semasa membuat persembahan sering menjadi perhatian.

Antaranya kemunculannya dengan baju bendera Malaysia.

Begitu juga semasa membuat persembahan gergasi di Jalan Chow Kit. Sudirman turut memakai baju bendera Malaysia.

Sudirman bantu jadi terkenal

Berikut imbauan pereka kostum kegemaran Sudirman, Zaharudin Abdul Wahab atau lebih dikenali dengan nama Den Wahab.

“Perkara yang membuatkan saya tersentuh adalah apabila tiba saatnya dia meminta untuk dijahitkan pakaian.

“Walaupun Sudirman seorang yang cukup terkenal, cara beliau meminta begitu berhemah dan sopan, membuatkan saya tidak mampu menolak setiap permintaannya.

“Ketika itu saya tidak fikir soal duit, tetapi kerana kepercayaan yang diberikan membuatkan saya mahu menggalas tangungjawab menjahit baju yang diingini,”katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Menurut Den, Surdiman adalah artis yang begitu menghargai tukang jahitnya, malah disebabkan penyanyi itu jugaah perusahaan kedainya menjadi terkenal.

“Ketika Sukan SEA 1989, dia berdiri di atas pentas dan mula bertanyakan kepada penonton sama ada baju bendera dipakai cantik atau tidak.

“Dia kemudian mengumumkan nama saya sebagai pereka baju berkenaan.

“Bukan itu saja, dia sering mencadangkan nama Den Wahab kepada rakan media menjadikan perusahaan saya semakin dikenali ramai,” katanya.

Siapa pernah terfikir

Pengarah filem dan pensyarah Universiti Teknologi Mara Ahmad Ibrahim, 66, pula berkata Sudirman adalah artis yang mempunyai "faktor Wow" tersendiri.

Bagi Ahmad ( gambar ) yang lebih dikenali sebagai Mat London itu, kehebatan persembahan Sudirman belum lagi dapat ditandingi oleh sesiapapun sehingga kini.

“Saya begitu kagum dengannya kerana pendekatan yang diambil.

“Sebelumnya, tiada siapa yang terfikir untuk menjayakan konsert berskala besar di Jalan Chow Kit.

“Dia pula sanggup mengadakan konsert itu dengan percuma hanya untuk menghargai peminat, terutama mereka yang tidak mampu untuk menonton persembahan di hotel atau membayar tiket.

“Bagi saya, majoriti yang hadir pada malam itu pula terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Menurutnya, sifat semulajadi The Singing Lawyer - satu lagi gelaran Sudirman disebabkan latar pendidikannya dalam bidang perundangan di Universiti Malaya - itu membolehkan artis berkenaan diiktiraf sebagai anak seni yang berbakat sangat besar.

“Di setiap persembahan, dia akan tampil dengan idea baru dan orang ramai mahu menyaksikan keistimewaan itu.

“Dia adalah seorang penghibur yang amat kreatif dan inovatif, lihat saja pemakaian dan persembahan yang dibawakan olehnya,” kata Ahmad.

Dia satu-satunya

Seorang lagi penggemar Sudirman adalah Pengarang Urusan Studio H, Badrul Hashim, 46.

Kata Badrul ( gambar ), lagu Sudirman melahirkan kegembiraan kepada pendengarnya, dan itu membuatkan dia tertarik kepada alunan muzik yang dibawa.

“Pada saya, Sudirman artis yang serba lengkap.

“Selain sering mendengar lagu arwah , saya juga menonton hingga dua tiga kali filem Kami yang dilakonkan olehnya.

“Walaupun tahu lakonan bukan bidangnya, saya tetap mahu menonton berkali-kali kerana minat yang mendalam terhadap arwah,” katanya.

Tambah Badrul, seandainya diminta pengganti, biar saja tempat Sudirman tidak dimiliki oleh sesiapa pun.

Katanya, mungkin akan ada orang lain yang mampu membuat persembahan lebih hebat, namun tetap tidak akan sama.

“Saya tidak mahu ada seorang lagi pengganti seperti Sudirman.

“Biarlah dia menjadi satu-satunya Sudirman dan mahu dia dikenang sebegitu kerana trademark yang ada,” katanya.