Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sebatang pokok, sebuah cerita, dan Dinsman.

Sejak ditanam di Taman Tasik Shah Alam itu, barangkali tak pernah ada sesiapa yang terlintas untuk menjadikan sebatang pokok yang entah berapa tahun usianya itu menjadi 'pentas'.

Namun malam tadi Dinsman dan kumpulannya mengubah sebatang pokok angsana menjadi pusat kepada cerita tentang nasib sebuah kampung warisan bernama Kampung Banda Dalam.

Temanya agak klise - sebuah kampung di tengah kota yang terancam oleh pembangunan. Ia cerita yang sudah pernah kita dengar atau ketahui dulu-dulu lagi.

Tetapi dalam keadaan sekarang, peduli apa tentang klise jika realitinya memang begitu, kan? Lihat saja bagaimana pemodal seolah-olah tidak pernah puas terus mencari mangsa untuk dikorbankan atas nama pembangunan.

"Pembangunan lagi! Ha ha ha ha!"

Itu juga diucapkan oleh seorang timbalan menteri berpakaian serba keemasan ketika bercakap tentang arahan kerajaan mahu 'membangunkan' Kampung Banda Dalam.

Bercakap tentang warisan

Diiringi dua badut timbalan menteri berkenaan diketawakan penduduk kampung setiap kali dia berhujah atas nama "pembangunan".

"Pembangunan lagi! Ha ha ha ha!"

Menonton Teater Atas Pokok - bagi seseorang yang sudah biasa dengan Kampung Banda Dalam - bagaikan melihat sepotong babak hidup sebenar, bukan lakonan.

Watak-watak yang muncul tidak diberi nama lain dalam naskhah Dinsman itu (kecuali timbalan menteri yang tidak dinamakan, serta 'kroninya').

Dalam Teater Atas Pokok ada Cikgu Ishak Surin disebut, kemudian Bohari Ibrahim, Lim Paik Yin dan penari profesional dari Thailand, Bhumin Dhanaketpisarn.

Mereka muncul dengan diri masing-masing, bercakap tentang "warisan". Dan dengarkan betul-betul dialog yang dituturkan untuk memahami.

Untuk yang kurang mengenali, Ishak adalah tokoh masyarakat setempat di Kampung Banda Dalam yang memang wujud. Dia aktivis politik yang langka jika dilihat kepada konteks siasah hari ini.

Ada rasa geram

Pemenang Hadiah Sastera Perdana (Novel) 2014, Razali Endun, berkata beliau berasa "puas" menyaksikan Teater Atas Pokok yang unik itu.

"Menyeronokkan, tak jemu walaupun ada gangguan teknikal beberapa kali," katanya kepada Malaysiakini .

Gangguan teknikal yang dimaksudkan Razali itu ialah masalah bekalan elektrik yang terputus beberapa kali menyebabkan suluhan lampu serta mikrofon tidak berfungsi.

Namun pelakon Teater Atas Pokok diasuh Dinsman menunjukkan kematangan yang boleh dipuji kerana persembahan tidak tergendala. Malah dialog mereka masih boleh didengar walaupun tanpa mikrofon.

Alunan petikan gitar Saidin Omar serta ukulele oleh Sani Sudin menambah perencah Teater Atas Pokok menjadi lebih 'sedap'.

"Patutnya semua watak pihak pemaju dibadutkan, bukan pengiring timbalan menteri itu saja," kata penonton dari Kelang, Haizir Othman selepas menyaksikan pementasan itu. Terasa ada nada geram pada suaranya.

Apa pun Teater Atas Pokok adalah pementasan unik dan tidak membosankan. Kanak-kanak juga ramai yang terpegun.

Jika perlukan bukti lagi, kerajaan Selangor - yang menjadi pembiayanya - boleh melihat reaksi dan kepuasan penonton malam tadi untuk bersikap lebih ramah kepada aktiviti kebudayaan dan kesenian. Oh ya, juga perlu lebih cekap menguruskan.

Kalau anda berasa terkilan gagal menontonnya malam tadi, datanglah ke Shah Alam malam ini. Berhampiran Dataran Kemerdekaan, bermula 9 malam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS