Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas berakhirnya konsert ulang tahun ke-10 penubuhan Hujan tahun lalu, kumpulan itu mula memikirkan langkah seterusnya untuk memastikan muzik mereka terus relevan.

Justeru, Hujan mengambil inisiatif mengeluarkan material lama bagi menghasilkan album baru berjudul Jika Sempat .

Dan langkah menerbitkan album berkenaan turut diambil kerana Hujan nekad tidak mahu terikut-ikut trend terkini yang kebanyaannya hanya melahirkan singles.

“Kami sepakat mengambil keputusan untuk menerbitkan album ini kerana berpendapat ia dapat mengisi ruang kosong yang ada.

“Selepas 10 tahun berada dalam zaman manjoy kami mula berkira-kira untuk merencanakan aktiviti seterusnya dengan lebih fokus.

“Lagu dalam album ini sebenarnya ada yang sudah lama diperam hingga menjadi jeruk dan sesuai dimakan sekarang,” kata vokalis Noh Salleh dengan nada bergurau.

Manjoy adalah perkataan yang merujuk ketika zaman kesemua anggota Hujan masih berdarah ‘panas.’

Pahit getir ditempuh bersama

Noh, 31, ditemui di sidang media pelancaran album berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Noh, kumpulan Hujan turut dianggotai gitaris dan komposer AG Coco, basis Izzat Uzaini, dan dram Azham Ahmad.

Di acara berkenaan, Noh mendedahkan selain 10 lagu lama dimuatkan dalam Jika Sempat terdapat dua lagi baru dicipta.

“Daripada 12 lagu yang dimasukkan ke album, 10 lagu mula dicipta dari tahun 2006.

Jika Sempat bakal menggamit nostalgia selain turut melambangkan pahit dan getir perjalanan yang kami tempuhi bersama-sama sepanjang melakar sejarah Hujan,” katanya.

Sepuluh lagu berkenaan adalah Jika Sempat, Biarkan Saja, Karektor Tentangan, Papa Mama, Jangan Lupakan Aku, Sendiri, Kamar Sepi, Miri, Berlari dan Mati dan Aku Janji.

Dua buah lagu terbaru turut dimuatkan dalam album tersebut iaitu Pemicu Gila dan Kau.

Peminat berpeluang mendengar kesemua lagu berkenaan secara eksklusif menerusi aplikasi Spotify bermula 15 April hingga 14 Mei sebelum album berbentuk fizikal dijual.

Kali terakhir Hujan menerbitkan album mereka adalah pada 2012 dengan judul Sang Enemy.

Ambil kelas vokal

Akui Noh, sebenarnya sepanjang tempoh 10 tahun, kumpulan itu sudah menghasilkan sejumlah simpanan lagu.

Dan Malaysiakini bertanyakan sama ada Hujan perlu mengambil kira beberapa faktor dalam memilih daripada sejumlah lagu tadi untuk dimuatkan dalam Jika Sempat.

“Untuk memilih lagu bagi dimuatkan dalam album sudah tentu kami mementingkan aspek yang sedap didengar.

“Paling penting, lagu itu sesuai dibawakan ketika membuat persembahan secara langsung di atas pentas," katanya.

Menurut Noh, dia juga turut membuka laluan kepada AG Coco untuk menerbitkan album berkenaan.

Malah ujar Noh, dia turut mengambil kelas memantapkan vokalnya semata-mata untuk merakam album berkenaan.

“Irama Jika Sempat sama seperti lagu yang pernah kami hasilkan di awal penubuhan kumpulan ini.

“Demi memberikan yang terbaik buat peminat, dan memastikan teknik nyanyian yang betul dari album terdahulu, saya sanggup mengikuti kelas vokal.

“Istimewa album ini adalah ia menjalani proses mastering di studio terkemuka Sterling Sound di New York, AS,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS