Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hari-hari terakhir seorang Prince
Diterbitkan:  Apr 23, 2016 6:27 PM
Dikemaskini: 4:43 PM

Dianggap sering berahsia dan bekerja dalam diam, detik kematian Prince nampaknya juga begitu - sendirian.

Prince yang dikenang dengan lagu Purple Rain dan When Doves Cry ditemui kaku dalam lif di studio merangkap rumahnya di Paisley Park, Minneapolis semalam.

Dalam sidang media sherif tempatan dan pihak berkuasa memberitahu Prince dihantar pulang oleh rakannya pada jam 8 malam Khamis (waktu tempatan).

Pada pagi Khamis pegawai syarikat rakaman Prince gagal menghubunginya dan mereka pergi ke bangunan berkenaan dan bertemu jasad penyanyi berkenaan dalam lif.

Paisley Park adalah kompleks studio dan rumah Prince seluas 6,039 meter persegi (65,000 kaki persegi) dan dianggar bernilai AS$10 juta (RM39 juta).

pic.twitter.com/gU3F6MciMf

— Prince (@prince) April 17, 2016

Berikut pula adalah transkrip panggilan kecemasan 911 pada jam 9.43 pagi antara pemanggil lelaki tidak dikenali dengan pegawai bertugas di pusat berkenaan: "Kami di rumah Prince. Dia dah mati dan orang ramai tertekan."

Sherif daerah Carver Jim Olson pula mendedahkan tiada sebarang tanda trauma pada tubuh Prince ketika jasadnya ditemui anggota paramedik.

Ia sekali gus membayangkan tiada unsur jenayah di sebalik kematian penyanyi berusia 57 tahun itu.

"Buat masa ini kami tidak melihat dia membunuh diri namun siasatan sedang diteruskan," katanya.

Mengapa mendarat cemas

Laporan juga menyatakan tiada pegawai keselamatan bertugas di bangunan milik Prince itu.

Olson malah memberitahu Prince seorang yang "sangat berahsia" dan sangat sering bersendirian walaupun di majlis keraian.

Bagaimanapun diketahui Prince Rogers Nelson - nama sebenar Prince - mengalami masalah kesihatan serius dan latar belakang yang membawa kepada insiden kapal terbangnya mendarat cemas seminggu lalu masih menjadi persoalan.

Prince sedang menaiki pesawat udara peribadinya dari Atlanta ke Minneapolis terpaksa dialihkan ke Moline, Illinois untuk pendaratan kecemasan.

Selepas rawatan yang didakwa pembantunya kerana masalah selesema, Prince menulis di Twitter: "I am transformed" (Saya sedang berubah).

Ketika itu tersebar berita kononnya dia sudah meninggal dunia.

Malam berikutnya dia mengadakan parti dihadiri kira-kira 200 orang untuk membuktikan dia masih 'bernyawa'.

Pada majlis itu dia juga sempat berpesan: "Tunggu beberapa hari lagi sebelum kamu membazirkan sebarang doa."

https://t.co/q1OzPi1535

— Prince (@prince) April 15, 2016

Saksi berkata Prince berada di atas pentas selama kira-kira 10 minit dan kelihatan lesu. Malah Prince tidak menyanyi walau satu lagu pun.

Sebelum ini dia sudah membatalkan konsertnya di Atlanta atas faktor masalah kesihatan namun mengadakan persembahan kecil-kecilan pada 14 April di bandar raya itu.

Dia dilaporkan meminta maaf kepada peminatnya kerana terpaksa membatalkan konsert yang dirancang lebih awal dan secara bergurau memberitahu dia kurang sihat.

Saksi berkata suara Prince kedengaran lemah namun kelihatan seperti biasa ketika menyanyi sepanjang tempoh 80 minit itu.

Apa yang ketara ialah, pada kebanyakan masa Prince sekadar duduk di sisi pianonya pada persembahan itu.

Dalam perjalanan pulang itulah penerbangannya dilencongkan ke Illinois untuk membuat pendaratan kecemasan.

Pada 2009 Prince mendedahkan dia mempunyai masalah sawan sejak lahir namun belum dapat dipastikan sama ada penyakit itu masih menyerang sehingga dia dewasa.

Lihat Komen
ADS