Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekalipun tampil dengan sebuah cerita yang padat dengan mesej dan menyentuh banyak jiwa, hakikatnya filem Redha belum mencapai matlamat yang diinginkan.

Pelbagai reaksi diberikan sesiapa yang sudah menyaksikan cerita digarap pengarahnya.

Salah seorang daripada mereka yang mengaku 'cair' dengan filem itu ialah pelakon dan personaliti terkenal negara ini, Neelofa.

#Redha ⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️

A video posted by Noor Neelofa Mohd Noor (@neelofa) on

Selepas melalui pelbagai proses terperinci untuk menghasilkannya ternyata tidak mudah untuk mengubah persepsi umum supaya menonton filem langka seperti Redha itu.

Namun, ‘realiti’ itulah yang terpaksa diredai oleh Tunku Mona Riza Tengku Khalid, 49, bagi filem pertama arahannya yang sedang ditayangkan di seluruh negara.

Pagi tadi .. #redhamovie dengan Anak Anak yatim Di Kerteh ❤️ pic.twitter.com/L35NbaHQO5

— Tunku Mona Riza (@tunkumona) April 23, 2016

“Saya tidak tahu perlu buat apa lagi? Saya tak pasti.

“Penjualan tiket Redha rendah kerana umum mungkin tidak mahu mengambil tahu perkara yang tidak dekat di hati mereka.

“Ia juga mungkin disebabkan mereka kurang menyedari cabaran perlu dihadapi kerana mereka tidak mempunyai anak atau ahli keluarga yang mempunyai masalah autisme,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Redha sebuah filem menceritakan perihal sebuah keluarga membesarkan anak autistik dan berdepan pelbagai kerenah dan cabaran.

@putraadibadham walaupun tak semua filem M'sia bawa idea baru, tapi sekali sekala wujud filem yg bawa idea baru (Redha), tak ramai orang tgk

— FILEMKITA.com (@FilemKita) April 21, 2016

Komen penonton setakat ini menunjukkan filem itu sangat positif malah keberkesanan Redha turut diakui pihak yang berkaitan dengan masalah autisme, seperti doktor, pakar terapi, ahli psikologi dan guru yang menontonnya.

Kata Tunku Mona, melihat kepada ulasan atau reaksi yang diberikan penonton, nyata golongan berkenaan melontarkan pandangan memberangsangkan untuk Redha .

Meskipun begitu, ‘jangka hayat’ Redha di pawagam mungkin tidak akan berpanjangan jika jumlah kutipan tiket tidak menguntungkan operator panggung wayang.

Redha mula ditayangkan sejak 14 April lalu. Mengikut Skim Wajib Tayang tempoh minimum untuk filem ini hanya hingga minggu depan.

“Pun begitu, sekiranya jumlah keseluruhan minggu ini mencatatkan kenaikan ketara berbanding sebelumnya, tayangan berkenaan mungkin dapat diteruskan,” katanya dengan penuh harap.

Semakan Malaysiakini ke atas data dikemas kini Finas, Redha setakat ini hanya mencatatkan kutipan sebanyak RM152,300.

Filem yang diinspirasikan daripada kisah benar itu mengambil masa hingga dua setengah tahun untuk disiapkan dan menelan belanja lebih RM3 juta.

Ia menampilkan artis yang diakui hebat lakonannya seperti Nam Ron, June Lojong, Nadiyya Nisaa, Remy Ishak, Susan Lankaster, Ruminah Sidek, Izzy Reef dan Haziq Harith.

Walaupun jumlah kutipan tiket lembab, harapan Tunku Mona tidak pernah putus untuk terus melahirkan karya seperti Redha, kerana baginya, dia gembira menjadi seorang yang memperjuangkan "suara-suara kecil".

“Saya memang suka kisah yang membawa suara kecil kerana mereka ini golongan yang jarang didengari.

“Tetapi jika khalayak tidak mahu mendengar, bagaimana saya mampu hasilkan filem seperti ini lagi?

“Kita tidak boleh melihat autisme seperti perkara yang tidak akan terjadi kepada diri sendiri kerana ia semuanya suratan takdir. Kita tidak akan tahu,” katanya.

Lihat Komen
ADS