Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kata Immanuel Kant, manusia akan bebas apabila seseorang tidak perlu mematuhi apa-apa kecuali undang-undang.

Captain America dan sekutunya dalam Captain America: Civil War nampaknya enggan bersetuju dengan ahli falsafah Jerman yang dianggap antara orang terpenting dalam mencorakkan falsafah moden itu.

Captain America (lakonan Chris Evans) seolah-olah mahu berada di atas undang-undang. Dia tidak mahu terikat dengan apa-apa kerana baginya The Avengers perlu kekal sebagai entiti bebas yang tidak berada di bawah sesiapa. Malah tidak ada undang-undang yang boleh mengawal mereka.

Mungkin dia mahu orang menerima mereka hanya atas "niat baik" untuk mengawal keamanan dunia. Pedulilah apa kesannya kepada sesetengah manusia yang menjadi mangsa akibat aksi-aksi perlawanan ganas itu.

Kesan berantai daripada tindakan Captain America dan rakan sehaluan dengannya dianggap 'korban' yang perlu diterima dan dimaafkan.

Di situlah berlakunya pertembungan Captain America dengan rakan adi wiranya, Iron Man atau Tony Stark (lakonan Robert Downey Jr).

Spider-Man direkrut

Aksi awal dalam filem ini membawa kita ke Nigeria. Captain America dan pasukannya menyertai misi menyekat askar upahan - diketuai Rumlow - yang ingin mencuri sesuatu yang berpotensi menjadi senjata berbahaya.

Misi itu berakhir dengan bencana yang besar kepada orang awam.

Ia menjadi noktah terakhir kepada pemimpin dunia berkompromi dengan kemusnahan disebabkan oleh The Avengers. Justeru mereka mahu meletakkan The Avengers di bawah kawalan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Untuk menjadi cerita, Stark bersetuju.

Bersama Stark adalah Black Widow (Scarlett Johansson) serta orang kanan yang juga sahabat baiknya, War Machine (Don Cheadle).

Untuk menambah perencah kepada filem ini penerbit dan pengarah berpakat untuk membawa masuk Spider-Man yang direkrut Stark.

Dalam keadaan itu The Avengers berpecah dua - satu pasukan diketuai Captain America dan satu lagi adi wira yang bersama Iron Man.

Mereka dipisahkan oleh ketetapan PBB yang mahu mengawal manusia luar biasa itu supaya lebih berhati-hati ketika kedua-dua pihak tidak sepenuhnya berada di sisi benar atau salah.

Malangnya pada sesuatu yang besar seringkali memaksa kita berpihak. Pada ketika tertentu, keputusan itu kita buat atas pertimbangan bersifat peribadi.

Dan dalam Captain America: Civil War ini soal persahabatan dan dendam menjadi penentu.

Bukanlah saya mahu mengatakan persahabatan tidak penting, tetapi pertimbangan peribadi selalu menjadi titik buta (blindspot) buat kita untuk melihat soal yang lebih sejagat.

Persahabatan Captain America dengan The Winter Soldier, dendam Black Panther dan kesumat Tony Stark akhirnya mendominasi jalan cerita.

Saya belum lagi menyebut tentang dendam watak jahat sebenar dalam filem ini, Helmut Zemo.

Kepantasan tepat

Tentunya saya tidak mahu terlalu mengulas banyak tentang jalan cerita, kerana saya tahu ramai yang tidak sukakan spoiler. Cukuplah dikatakan, bagi saya aksi pertarungan di lapangan terbang yang melibatkan The Avengers dan beberapa adi wira yang turut muncul dalam filem ini iaitu Black Panther, Spider-Man dan Ant-Man adalah aksi pertarungan terhebat pernah dihasilkan Marvel.

Karakter Spider-Man misalnya, sangat menghiburkan dan berjaya memunculkan ciri-ciri keremajaan Peter Parker berbanding adi wira lain yang lebih senior dalam filem ini.

Secara keseluruhan, produksi ini bagi saya antara yang terbaik pernah dihasilkan oleh Marvel, kalaupun tidak terbaik.

Adegan-adegan disusun dalam kepantasan yang tepat. Tidak ada satu adegan pun yang boleh membuatkan kita hilang fokus, termasuk ketika mereka hanya bercakap-cakap dan tidak memberikan siku lutut antara satu sama lain.

Watak-watak dijayakan dengan baik oleh pelakon-pelakonnya terutama watak Stark yang insaf bahawa kuasa luar biasa para adi wira perlu ada semak dan imbang oleh pihak lain.

Watak penceria utama, tentunya dimenangi oleh Spider-Man (lakonan Tom Holland) yang telah saya sebutkan tadi.

Setelah menikmati semua aksi tu, saya kembali kepada persoalan yang lebih besar. Saya gagal menghitung berapa ramai adi wira dilahirkan oleh Marvel Universe kepada kita.

Persoalan yang bermain di fikiran ialah, jika mereka itu benar-benar wujud, di manakah kita mahu menempatkan mereka dalam struktur masyarakat yang memang sudah rencam ini?

Atau adakah mereka sebenarnya memang wujud, iaitu dalam bentuk golongan yang seolah-olah berada di atas undang-undang dan tidak boleh disentuh langsung.

Boleh jadi mereka itu di kalangan politikus korup, atau raja yang zalim, atau ulama yang bertindak seperti wakil secara langsung tuhan. Apa yang saya tahu, kita tidak punya adi wira untuk berdepan dengan golongan itu, melainkan di kalangan kita sendiri - rakyat biasa tanpa sebarang kuasa luar biasa.

Lantas saya tertanya-tanya lagi: Kuasa rakyat yang selalu dilaungkan oleh politikus itu, apa?


NAJMUDDIN YUSOFF eksekutif komunikasi yang masih menanti dikurniakan 'kuasa luar biasa'. Sementara menanti dia suka membaca buku, menonton filem, menulis sajak dan kadang-kadang menulis artikel.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS