Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Jika beberapa hari lalu Malaysiakini menyiarkan pujian melambung pelakon Datuk Rosyam Nor terhadap Syafiq Yusof, kali ini ikuti pula kisah sisi pengarah muda itu.

Dilaporkan sebelum ini, antara faktor mendorong Rosyam bersungguh-sungguh mahu berlakon di bawah arahan Syafiq adalah kerana anak Datuk Yusof Haslam itu memiliki kredibiliti dan bakat besar.

Kata Syafiq dia memilih pelakon senior itu untuk menjadi peneraju utama filem aksi kepolisan KL Special Force kerana susuk tubuh Rosyam yang dirasakannya ideal.

“Saya memilih Rosyam bukan semata-mata kerana namanya masih mekar dan popularitinya tidak pernah merudum tetapi saya dapati dia paling sesuai dengan karakter dalam skrip.

“Selain itu dia mempunyai aura dalam penampilan dan memiliki bentuk badan yang masih tegap, langsung tidak seperti usianya,” kata pengarah berusia 23 tahun itu kepada Malaysiakini.

Sesuai dengan sifat filemnya yang memaparkan banyak aksi, antara kriteria diperlukan ialah pelakonnya harus menepati ciri seorang anggota polis di dunia realiti.

Kata Syafiq yang melonjak namanya selepas membikin filem Sam: Saya Amat Mencintaimu pada 2014 itu, pemilihan pelakon juga tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

“Untuk hasilkan filem kepolisan, saya harus membuat penilaian mengenai bentuk fizikal pelakon. Biarpun Rosyam agak berusia, tetapi dia ditampilkan dalam wataknya sebagai lebih muda berbanding usia sebenar, dan saya melihat ini sebagai kelebihan pelakon itu,” katanya.

Ada identiti sendiri

Filem yang menelan belanja kira-kira RM2.5 juta itu adalah filem keenam Syafiq, dan dihasilkan selepas dia bekerjasama dengan Pekin Ibrahim dalam Mat Moto (2016).

Selain Rosyam, barisan pelakon yang turut menjayakan KL Special Force adalah Fattah Amin, Tania Hudson, Syamsul Yusof dan Sabrina Ali.

Langkah panjang Syafiq sebenarnya tidak jauh daripada genre kepolisan tempatan yang pernah dipopularkan bapanya, seperti Remang-remang Kota Raya, Roda-roda Kota Raya dan Gerak Khas.

Namun, Syafiq mahu KL Special Force berdiri di atas identitinya sendiri, tanpa dibayangi jenama mahupun struktur penceritaan seperti yang pernah dihasilkan bapanya.

Sebenarnya, kata Syafiq, sudah lama dia mahu menghasilkan filem bercorak kepolisan.

"Apabila Polis Evo menjengah pawagam terlebih dahulu, ia seakan membakar semangat untuk bersaing namun pasti saya akan tampilkan kelainan iaitu dengan membawa filem yang berat dengan beberapa idealogi dalam KL Special Force.

“Selain itu, penonton akan dihidangkan dengan sekurang-kurang 10 babak letupan besar yang akan mengorbankan empat buah kereta polis, satu Skyline dan BMW serta dua van," katanya.

"Semuanya dilakukan dengan pekerja aksi lagak ngeri untuk memaparkan keaslian dan mengurangkan efek khas kepada kira-kira 10 peratus saja,” katanya.

Lihat Komen
ADS