Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Malaysia bikin filem: Jangan gopoh kejar impian

Untuk meneruskan kelangsungan industri perfileman negara, produknya haruslah berpaksikan pada nilai komersial tetapi perlu dingat, ia tidak bermakna keperluan menghasilkan karya seni tidak boleh disisihkan.

Penerbit juga jangan terlalu gopoh mengejar impian.

Itu pandangan kata pengarah berpengalaman Datuk Yusof Haslam.

Prinsip beliau mudah - jangan apa yang dikejar tak dapat dan yang dikendong pula berciciran.

Ditanya pandangannya mengenai keperluan menghasilkan filem "berkualiti" dan boleh dipasarkan ke luar negara - seperti Cannes - Yusof (gambar) berkata tiada tiada kemestian untuk seseorang pengarah melahirkan karya begitu.

"Dan faktor itu sebenarnya bebas, selain terserah kepada seseorang pengarah sama ada ingin menghasilkan filem yang boleh dibawa ke festival atau tidak.

“Tetapi bagi saya, pembikin filem tempatan digalakkan mencipta karya yang selayaknya menjadi raja di negara sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 5 Mei lalu portal ini menyiarkan pandangan pelakon veteran Wan Hanafi Su yang mencadangkan supaya penerbit menghasilkan karya berpijak di bunyi nyata dan tidak bercerita tentang sesuatu yang "tidak nampak di pandang".

Bangun pasaran tempatan dulu

Katanya, untuk mengangkat martabat filem Malaysia penerbit perlu "berhenti membuat cerita hantu" kerana tiada sesiapa yang mahu menyaksikan "benda yang kita tak nampak wujud di alam nyata ini".

Yusof yang juga pemilik Skop Productions Sdn Bhd itu berkata, langkah proaktif berkenaan harus diseimbangkan mengikut kehendak pasaran supaya filem tempatan tidak terkubur.

“Menjadi kepentingan untuk seorang penerbit membangunkan pasaran dalam negara terlebih dahulu. Selepas itu, baru diteruskan hingga ke luar negara, khususnya di Asia.

“Sekiranya tiada permintaan dalam pasaran kita, ini bermakna tiada lagi peluang menghasilkan filem,” katanya.

Bagaimanapun, dengan kenyataan berkenaan tidak pula bermakna timbalan pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu menafikan kepentingan karya yang kurang mengandungi unsur komersial.

“Saya menggalakkan penghasilan filem yang lebih cenderung ke arah artistik atau eksperimental, tetapi ini tidak bermakna kita harus menghasilkan ia terlalu banyak hingga tiada lagi filem berunsur komersial," katanya.

Apa tujuan buat filem

Sebelum ini beberapa filem Malaysia disenaraikan untuk ditayangkan di Festival Filem Cannes yang sedang berlangsung di Perancis sehingga 22 Mei ini.

Ia boleh dianggap satu pencapaian yang membanggakan, meskipun pada masa sama turut timbul persoalan adakah filem yang laku ke luar negara itu juga laris di negara sendiri.

Sementara itu, menurut pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor berpendapat jika mahu membuat pelaburan berisiko tidak ‘enak’ sekiranya karya dihasilkan tidak mendapat tempat di hati penonton.

“Karyawan filem menghasilkan sesuatu agar ia dapat meraih pulangan modal.

“Buat filem untuk apa? Sudah tentu untuk ditonton kerana jika tidak, sudah pasti ia menimbulkan perasaan sayu,” katanya.

Rosyam juga berkata tidak pula pernah berimpian membawa filem terbitannya ke ke pasaran luar negara, apatah lagi untuk ke tayangan berprestij seperti di Cannes.

“Saya tidak pernah bayangkan untuk membawa filem ke sana, cukuplah menghasilkan sesuatu yang akan ditonton dan dihargai penonton.

“Bagi saya, sesebuah filem yang baik akan mendapat pengiktirafan dan mempunyai perjalanan yang tidak perlu diatur malahan ia akan ‘bergerak’ dengan sendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS