Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Brader Kita Mesti Terus Hidup kemarahan Nasir pada rejim Mahathir

Bagaimana memendam rasa menjadi persona non grata selama kira-kira dua dekad, agaknya? Nasir Jani ada jawapan.

Dia berasa tertekan kerana disenarai hitam oleh agensi kerajaan dan swasta, serta tiada pekerjaan.

Ketepikan dulu kehendak perut sendiri dan isteri, kerana yang lebih penting, ada empat anak yang perlu dibesarkan serta diberi pendidikan.

Dalam geram dan dendam, Nasir menulis dan menulis di helaian-helaian "buku rekod cikgu sekolah" untuk melepaskan perasaan.

"Ia suatu bentuk terapi," katanya.

Nasir lepasan Institut Teknologi Mara (ITM) bermula sebagai pengarah filem iklan dan dokumentari sebelum membabitkan diri dalam dunia perfileman. Naskhah Kembara Seniman Jalanan yang pada asalnya kisah mudah dan ringan ditukanginya menjadi filem sarat dengan kemarahan serta berontak terhadap sistem sedia ada.

Kemudian Nasir mengarah filem keduanya - Rozana Cinta 87.

Arah filem baru

Selebihnya adalah sejarah, kerana Nasir dulu adalah tentang "marah-marah". Mengucapkan kata "empat huruf terlarang" ketika bersiaran langsung di TV3, mengambil jalan sendiri memperjuangkan nasib filemnya dan berseteru dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) adalah antara 'warna' yang ada pada dia.

"Abang menulis tanpa ada tujuan, waima dengan niat menjadikan ia buku suatu hari nanti.

"Cuma apa yang pasti, abang menulis kerana benar, dan yakin kebenaran itu akan diceritakan kemudian hari. Rupa-rupanya masa untuk itu, sekarang inilah," katanya kepada Malaysiakini.

Di tengah kesibukannya dalam projek pengarahan filem terbaru, Nasir sempat meluangkan masa bercerita tentang bukunya, Brader, Kita Mesti Terus Hidup.

Ia adalah catatan harian Nasir ketika dia menetap di Kampung Kelemak di Alor Gajah Melaka. Penulisan mukadimah pada buku itu dimulakan pada malam 25 Disember 1997 dan tamat pada jam 1.29 pagi "keesokan harinya".

Membaca buku Nasir adalah seperti berbual dengan batang tubuhnya sendiri. Ia tulisan yang terus terang, hampir-hampir tiada tapisan langsung dan bersahaja.

Kemarahan? Tentulah sentiasa ada.

Ketika pertemuan pada malam itu, Nasir datang bersama anak ketiganya, Muhammad Zubir, seorang daripada tiga beradik yang dihantar belajar di sekolah agama.

Nasir, 62, berbaju T dan kelihatan santai. Baju yang dibelinya di Chennai India itu bukan saja-saja dipakai.

"Tengok," tunjuk Nasir pada baju dipakainya. Ada gambar John Lennon, dan ada perkataan Imagine - salah satu lagu ikonik penyanyi berkenaan.

Di bawah gambar Lennon itulah yang lebih menarik hati Nasir. Ada ungkapan "No Corruption, No Scam, No Black Money, No Greed".

Bagi pembaca yang mengetahui latar kisah Nasir pada era 1980-an hingga 1990-an dulu tidak susah untuk mendapatkan konteks bagi luahan hatinya dalam buku berkenaan.

Tak puas hati, lawan balik

Di situ ada berkali-kali nama - dan gelar - Tun Dr Mahathir Mohamad disebut, selain beberapa tokoh terkenal seperti Tan Sri Mohamed Rahmat. Kedua-dua tokoh itu adalah orang yang terlibat secara langsung dengan 'perjuangan' Nasir.

Mahathir adalah perdana menteri dan Mohamed adalah menteri penerangan yang memantau segala hal ehwan penyiaran serta hiburan negara.

Ada juga banyak nama dikenali ramai lain dalam buku berkenaan.

"Abang terpaksa petik nama-nama itu semua sebab memang begitu yang terjadi.

"Kalau mereka tak puas hati, lawanlah balik hujah itu. Sila tulis buku dan kita boleh bezakan sejarah yang berlaku dulu," katanya.

Dalam Brader, Kita Mesti Terus Hidup Nasir bercerita dengan jujur mengenai apa yang dirasainya hidup membesarkan anak-anak tanpa pendapatan tetap.

Kadang-kadang terpaksa mengharapkan ihsan adik beradik dan ipar-duai.

Pada ketika ada sedikit peluang, Nasir menulis skrip untuk rakan yang ingin membantu. Cuma dia tidak boleh menggunakan nama sebenar kerana pasti akan ditolak stesen penyiaran. Dia menjadi 'penulis gelap'.

Sesekali, ada juga rezeki datang tiba-tiba daripada royalti lirik lagu yang ditulis Nasir.

Sementara bergelut dengan rasa marah dan geram, Nasir terus menulis apa saja yang terfikir di fikirannya.

"Apa yang terkandung dalam buku ini datang terus dari hati. Ia kata-kata raw (mentah) yang jujur," katanya.

Cuma Brader, Kita Mesti Terus Hidup bukanlah luahan sepenuhnya daripada Nasir. Masih ada yang 'tersimpan'.

"Sekarang baru keluar kira-kira 80 peratus. Baki 20 peratus abang simpan dulu, mungkin untuk buku seterusnya," kata Nasir.

Kata pengantar buku ini ditulis 'Osman Tikus' dalam cerita Kembara Seniman Jalanan. Memang itu syarat diletak Nasir kepada penerbit buku itu.

Nampaknya Pyanhabib memang mempunyai tempat tersendiri pada Nasir kerana buku itu disusun dengan khusus - dimulakan dan diakhiri oleh penyair tersendiri itu.

Lihat Komen
ADS