Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Malaysia ke Cannes tinjau pasaran muzik dunia
Diterbitkan:  May 31, 2016 2:48 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Kementerian Komunikasi dan Multimedia bakal mengetuai delegasi terdiri daripada Bunkface Production, Faithful Music, Livescape Group, Breaking Records, Jazzy Group dan syarikat lain ke acara tahunan perniagaan muzik dan produksi audio terbesar di dunia, Marché International du Disque et de l’Edition Musicale (Midem), bertempat di Cannes, Perancis. 

Ia adalah penyertaan kali keempat Malaysia ke Midem dan ia berlangsung antara 3 hingga 6 Jun 2016.

Sebelum ini Malaysia menyertai Midel melalui konsert Malaysia Supernova (2013 dan 2014), dan kerjasama strategik dengan negara lain seperti China, Korea dan Taiwan (pada 2015). 

Dalam kenyataan media hari ini, kementerian itu berkata Malaysia membuktikan kredibilitinya menjadi antara hab muzik di Asia melalui penganjuran pelbagai festival muzik bertaraf antarabangsa seperti World Youth Jazz Festival, Rainforest World Music Festival dan Asia Music Festival.

Penganjuran itu, katanya, sekaligus menempatkan Malaysia sebagai salah satu negara yang mempunyai industri muzik yang semakin rancak di persada antarabangsa.

"‪Menyedari kepentingan sektor muzik, kementerian mengambil langkah baru pada tahun ini dengan memberi lebih tumpuan kepada sisi perniagaan industri muzik negara dengan membuka penyertaan kepada syarikat-syarikat di dalam seluruh ekosistem muzik. 

"Justeru, selain syarikat rakaman, delegasi tahun ini turut merangkumi artis-artis tempatan (Bunkface, Paperplane Pursuit, dan Dennis Lau), penerbit muzik, penganjur konsert, ejen tempahan, syarikat pengurusan artis dan lain-lain. 

"Midem memberi peluang untuk industri muzik antarabangsa menerokai ekosistem, bakat serta perkhidmatan dalam industri muzik Malaysia, seterusnya membuka peluang yang lebih besar untuk mengeksport kandungan tempatan dan kerjasama antarabangsa dalam pembangunan dan promosi industri muzik Malaysia sebagai irama Asia di seluruh dunia," kata kenyataan itu.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, kementerian komunikasi dan multimedia memperuntukkan RM118 juta di bawah Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) untuk membangunkankan industri kreatif tempatan. 

Menerusi DIKN, katanyta, pelbagai program muzik dilaksanakan sebagai usaha kerajaan untuk membangunkan serta menggalakkan bakat kreatif dalam industri kreatif negara. 

"Kerjasama antara pihak kerajaan dan industri muzik ini dijangka akan menjana pulangan ekonomi yang lebih besar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). 

"Pada 2014, sebanyak RM145 juta direkodkan bagi program pemasaran kandungan tempatan di pasaran antarabangsa," kata kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS