Pernah gagal dan melalui cabaran getir menghasilkan filem tidak melunturkan semangat Les Copaque Productions untuk terus mencuba.
Kini dengan kos penerbitan mencecah RM4 juta mereka memunculkan Upin dan Ipin Jeng Jeng Jeng! dan dijadual mula ditayangkan kepada umum pada November ini.
Menurut Pengarah Urusan Les Copaque Burhanuddin Md Radzi, penggambaran filem itu sebenarnya sudah dimulakan sejak 2013 tetapi karya itu terpaksa 'dibuang' dan diolah semula 100 peratus.
“Kami menghadapi terlalu banyak kesulitan yang tidak menemui jalan penyelesaian. Punca masalah disebabkan isu seperti teknikal, skrip dan pengarahan.
“Antara isu yang timbul adalah pelakon dan pengarah tidak mengikut skrip serta pemilihan pelakon tidak sesuai,” katanya.
Bagaimanapun, Burhanuddin enggan menjelaskan jumlah kerugian yang ditanggung mereka.
Burhanuddin ditemui di sidang media filem Upin dan Ipin Jeng Jeng Jeng! di Aloft Kuala Lumpur Sentral semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman dan Presiden Eksekutif Kumpulan KRU Norman Abdul Halim.
Sejarah untuk Erma
Filem animasi terbaru itu dihasilkan melalui usahama Les Copaque Production dengan KRU Studios dan mendapat sokongan dari Perbadanan Pembangunan Multimedia.
Ia juga mendapat bantuan pembiayaan Lembaga Kemajuan Filem Nasional (Finas) di bawah tabung Dana Kesan Khas (CGI).
Upin dan Ipin Jeng Jeng Jeng! adalah filem animasi Malaysia pertama menggabungkan teknik animasi 3D dan lakonan hidup.
Untuk itu, ia menggabungkan khidmat dua pengarah iaitu Erma Fatima (untuk lakon hidup) dan Pengarah Kandungan Kreatif Les Copaque Ainon Ariff (untuk animasi).
Keadaan itu menjadikan Upin dan Ipin Jeng Jeng Jeng! melakar sejarah buat Erma apabila ia menjadi filem animasi pertama mendapat sentuhan pengarahannya.
Tampil dengan sebahagian pelakon baru berbanding versi sebelumnya, filem itu antara lain dibarisi Awie Wings, Asyiela Putri, Sara Ali, Gambit Saifullah dan Remy Ishak.
Kata Burhanuddin (gambar) penggambaran kali kedua tidak terlepas daripada dugaan.
Ia disebabkan lakonan yang disiapkan gagal mengikut jalan penceritaan yang diingini.
“Filem ini dibuat berdasarkan karakter penyanyi rock Awie, tetapi disebabkan sebelum ini dia sibuk dengan jadualnya sendiri, penggambaran tertangguh selama setahun," katanya.
Burhanuddin memberitahu mereka memilih watak Awie kerana sifatnya yang dilihat mudah mesra dengan kanak-kanak.
“Penggambaran sudah tamat. Memang banyak kerja perlu disiapkan untuk membentuk semula karya itu tetapi sebanyak 80 peratus penggambaran kedua ini boleh diterima,” katanya.
Selain itu kata Burhanuddin, pihaknya turut berdepan dengan kekangan kewangan apabila peruntukan tinggi diperlukan bagi menjayakan filem dengan karakter animasi popular itu.
Namun, biarpun sukar Burhanuddin masih memasang harapan tinggi filem berkenaan mampu mendapat tempat di hati peminat.
“Kami yakin Upin dan Ipin mempunyai jenama tersendiri dan peminat besar di kalangan kanak-kanak khususnya.
“Kami meletak sasaran kutipan sekurang-kurang RM20 juta biarpun terpaksa bersaing di hujung tahun dengan filem besar dari Hollywood,” katanya.
