Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Langkah panjang untuk penyanyi hip hop, Altimet, selepas lagu Kalau Aku Kaya mencatat sejuta muat turun di Internet, sekali gus memberi rezeki tambahan kepadanya.

Lalu dia tidak mahu menikmati kegembiraan itu bersendirian sebaliknya berkongsi kegembiraan itu dengan orang yang memerlukan.

Justeru Altimet, 37, memasang niat untuk beramal, dan dengan konsep “menyumbang selepas menerima,” dia terdorong melakukan perkara yang dirasakan sangat wajar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang dilimpahkan Allah. Dengan kurniaan-Nya itu, saya berasakan ada sedikit lebihan daripada yang kami perlukan.

"Oleh itu, biarlah kami salurkan bantuan kepada orang yang lebih memerlukan,” katanya yang ditemui di sidang media Giving Back to the Community di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di Jalan Pahang baru-baru ini.

Perkataan “kami” diungkap Altimet itu merujuk kepada dirinya dan pasangan duetnya dalam lagu Kalau Aku Kaya, Awi Rafael.

Altimet bukan saja bertindak sebagai penyanyi Kalau Aku Kaya malah menjadi penulis lirik lagu berkenaan.

Pusat Transit Gelandangan itu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Malaysia Resources Corporation Bhd.

Ia berperanan sebagai pusat sehenti yang menyediakan penginapanan sementara kepada golongan gelandangan.

Menurut Altimet atau nama asalnya Ahmad Abdul Rahman itu, dengan sumbangan yang diberikan, diharap ia dicontohi masyarakat.

Bagaimanapun, langkah diambil itu bukan kerana si penyanyi hip hop itu berasa dia layak dan mahu mendabik dada atas nama sumbangan amal.

Ada kaitan dengan album 

Kata Altimet, sebagai artis biarlah dia menggunakan perhatian diberikan masyarakat dengan sebaik mungkin.

“Langkah ini lebih kepada menarik perhatian orang ramai untuk sedar mengenai wujudnya pusat gelandangan seperti ini.

“Ya, memang boleh untuk saya beramal secara diam-diam, tetapi usaha itu mungkin akan berakhir di situ saja, tiada kesinambungan. Dengan memaklumkan kerja amal ini kepada media, sedikit sebanyak masyarakat yang mengenali saya dan Awie turut terpanggil untuk berbuat perkara sama,” katanya.

Akui Altimet, dia turut membabitkan diri dengan beberapa kerja amal lain, tetapi perkara itu seboleh-bolehnya mahu dirahsiakan.

Meskipun itu kali pertama Altimet berjaya merealisasikan impiannya untuk membantu golongan gelandangan, usaha murni itu sebenarnya sudah pun bermula sejak kira-kira tiga tahun lalu tetapi menerusi program sumbangan makanan di Chow Kit.

Menceritakan perkara itu, ilham untuk memberi sumbangan kata Altimet berkait rapat dengan tema album yang dibawakannya, Kotarayaku.

“Bagi saya, kewujudan gelandangan menunjukkan situasi unik di kawasan kota raya. Hip hop pula adalah muzik yang banyak menceritakan perihal kota raya. Nak dijadikan cerita, tajuk album saya adalah Kotarayaku. Dalam erti kata lain ia menjadi masalah kepada bandar rayaku,” katanya.

Katanya, pembabitannya dalam prpgram amal bersama gelandangan itu memberi sejumlah kelegaan kepadanya kerana dia berada dalam posisi yang boleh menghulurkan bantuan.

“Tidak berada dalam keadaan seperti gelandangan membuatkan saya bersyukur, tetapi dalam pada masa sama, saya gembira tempat sebegini diwujudkan dan dapat menyumbang,” katanya.

Lihat Komen
ADS