Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Ada rasa teruja dapat dilihat pada wajah beberapa hadirin di premis Gerakbudaya di Petaling Jaya pada malam itu.

Sejurus sebelum tiba waktu yang dijanjikan sebahagiannya membelek-belek buku yang akan dilancarkan dan membeli. Dapat dijangka harapan mereka untuk memperoleh tandatangan penulisnya.

Di luar bangunan aktivis seni Dinsman keluar masuk beberapa kali. Dan beberapa kali juga dia berdiri di tepi jalan melihat ke kiri dan kanan dalam gelap.

Akhirnya majlis yang dirancang itu pun bermulalah. Dan begitu juga kehampaan. Kelibat Mohd Affandi Hassan tidak kelihatan langsung.

Dinsman bertindak sebagai tokoh yang diberi penghormatan melancarkan buku Mohd Affandi, Hikayat Buyung Lurus - Sebuah Hikayat Politik Melayu, berkata dia ada menyiapkan beberapa soalan untuk ditanyakan secara langsung kepada penulis itu.

Antara soalan yang ingin ditanya, kata Dinsman dalam ucapannya, ialah: Adakah pemilihan dia sebagai perasmi itu suatu sindiran?

"Memang Affandi dianggap sebagai orang yang sentiasa berasakan dirinya selalu benar dan orang lain salah.

"Sebab itu dia dilihat tidak diterima dalam kalangan penulis arus perdana.

"Dan saya masih pelik mengapa saya dijemput merasmikan pelancaran buku ini," katanya.

Hikayat Buyung Lurus - Sebuah Hikayat Politik Melayu adalah satu lagi karya satira Mohd Affandi yang diterbitkan syarikat Gerakbudaya Enterprise. Pada buku itu dinyatakan naskhah berkenaan adalah kisah tentang Buyung bin Anu yang "tidak wujud tetapi terdapat di mana-mana di alam virtual reality."

Si Buyung adalah tokoh politik yang bertanding dalam lima pilihan raya dan kalah - malah kehilangan wang deposit pada setiap kali penyertaannya itu.

Kisah itu diceritakan berlaku di sebuah tempat bernama Kampung Manifesto.

Buku setebal 161 halaman itu dijual pada harga RM20 senaskhah.

Politik opurtunis

Kata Dinsman, Mohd Affandi memang seorang penulis yang sangat kritikal dan berterus terang dalam karyanya.

Dan ia semacam diakui sendiri Mohd Affandi dalam catatan di awal bukunya apabila dia menulis: "Karya ini ditulis menggunakan style berasaskan falsafah tinju Muhammad Ali. Dance like a butterfly; striking like a bee! Jika ada terasa pedih, maka itulah sengat lebah madu yang berjasa kepada manusia; jika anda terbawa-bawa oleh cerita, maka anda sedang menari sambil mengejar rama-rama."

Pada malam itu juga diadakan program forum "Yang Berhormat vs Yang Berkhidmat - Korupsi & Politik Opurtunis". Penerbit dan penulis Faisal Mustaffa menjadi moderator kepada tiga panel, iaitu Hazman Baharom, Hishamuddin Rais dan Dinsman sendiri.

Kata Hishamuddin, apa yang menarik perhatiannya ialah penggunaan unsur humor dan satira sebagai senjata penentangan terhadap penguasa.

Menurut Hishamuddin kaedah sama turut digunakan kartunis Zunar dalam karyanya yang gemar mengkritik kerajaan sehingga dianggap berbahaya.

Dinsman pula berkata Hikayat Buyung Lurus - Sebuah Hikayat Politik Melayu berpotensi untuk diharamkan kerana kepolosan penulisnya mengkritik pihak berkuasa.

"Selepas Shit! (karya Datuk Shahnon Ahmad - sasterawan negara kedua dan bekas anggota parlimen Sik), tidak ada novel seberani ini diterbitkan untuk menganalisis suasana politik semasa.

"Jadi sesiapa yang berminat elok beli segera," katanya.

Dalam penjelasan Mohd Affandi di halaman-halaman awal buku itu, dia menyatakan Hikayat Buyung Lurus - Sebuah Hikayat Politik Melayu ditulis pada 2004.

Pada mulanya, kata Mohd Affandi, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bersetuju menerbitkan buku berkenaan namun keputusan itu ditarik balik pada 2015.

Walaupun naskhah itu ditulis ketika Malaysia di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mohd Affandi berkata, penerbitannya ketika ini "amat bermakna kerana persoalan korupsi dan skandal politik yang menjadi isu" novel berkenaan menjadi "semakin istimewa dengan terjadinya kontroversi di sekitar 1MDB".

Sementara itu seorang hadirin pada malam berkenaan berkata, dia pernah diberitahu Mohd Affandi sebenarnya seorang penulis yang sukar untuk dilihat berdepan dengan orang ramai.

"Dia semacam sangat mengelak benar untuk berdepan khalayak, malah cuba berani menjawab dengan tulisan," katanya.

Namun sehingga ke sudah, tiada kepastian mengenai status itu. Dan pertanyaan kekal menjadi pertanyaan.

 

Lihat Komen
ADS