Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Keterbukaannya mungkin disalah tafsir. Justeru tindakan penyanyi Nadira kerap memuat naik gambarnya bersama anak Ahmad Dhani, Ahmad Al Ghazali rupa-rupanya mengundang benci.

Itulah yang terjadi kepada Nadira, 19, apabila terdapat segelintir peminat yang begitu fanatik dengan Ahmad Al Ghazali seakan tidak rela penyanyi kesayangan mereka dikaitkan dengannya.

“Pernah saya dikritik oleh peminat yang benar-benar menggilakan Al Ghazali .

“Saya faham ada orang lebih berminat mengadili saya dan berasakan tidak layak mendampingi Al Ghazali kerana namanya memang bukan asing di Indonesia,” katanya.

Nadira ditemui di majlis amal di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang Kuala Lumpur bersama ibunya Datin Seri Anggraini Sentiyaki baru-baru ini.

Dinamakan Tengku Nadira Munawarah Tengku Adnan selepas lahir pada September 1997, remaja itu mula dikenali selepas menghasilkan single Cinta Datang Dan Pergi pada 2015.

Dengan keadaan keluarganya bolehlah dikatakan Nadira menjadi anak seni sejak dalam kandungan. Ibunya sebagai pelakon begitu popular di Indonesia dengan nama Enny Beatrice pada 1980-an sebelum berkahwin dengan bapa Nadira, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Nadira adalah anak kelapan daripada 10 beradik.

Al Ghazali, 18, pula memang anak pasangan tokoh seni di Indonesia.

Remaja yang mesra disapa dengan nama Al itu berbapakan pengasas kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani, manakala ibunya adalah Maia Estianty.

Hati rusuh ditenteramkan

Menurut Nadira sebenarnya hubungan dia dan Al Ghazali dianggap tidak lebih daripada sekadar teman rapat.

Dan dia juga semakin lega kerana sedikit demi sedikit keadaan semakin baik kerana peminat mulai dapat menerima persahabatannya dengan Al Ghazali.

Katanya, setiap cemuhan itu dihadapi dengan tabah dan ditangani sebaik mungkin.

"Pada saya komen begitu jangan dibaca kerana pasti ia menimbulkan perasaan tidak selesa.

"Tetapi sesekali ada juga saya terbaca satu, dua komen berkenaan sebab akaun Instagram itu saya urus sendiri.

"Tidak dinafikan komen negatif begitu memang menyakitkan hati, tetapi mujur Al Ghazali banyak membantu dengan mententeramkan saya," katanya.

Nadira kini menuntut di Universiti Kristen Krida Wacana di Indonesia dalam jurusan perubatan. Bakal doktor itu bakal menamatkan tahun pertamanya pengajiannya tahun ini.

Kata Nadira, berada jauh daripada keluarga dan merantau di negara orang membuatkan hubungannya dengan Al Ghazali menjadi lebih akrab.

Dalam keadaan begitu, katanya, Al Ghazali sering menjadi peneman sejati.

Ketika ditanya sesi pembabitannya bertemu gelandangan, Nadira berkata acara kebajikan seperti itu sentiasa dekat dengan dirinya.

"Saya memang manja dengan mama, dan sejak berumur lima tahun lagi sudah terbiasa mengikuti dia dan papa ke program begini.

"Sedih melihat keadaan orang yang kurang bernasib baik ini dan ia sentiasa memberi motivasi kepada saya.

"Jika diizinkan mungkin satu hari nanti saya ingin menubuhkan sebuah yayasan antipenderaan kanak-kanak.

"Saya suka kanak-kanak dan mahu membela mereka yang kurang bernasib baik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS