Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Nama Wan Imar Izzat Wan Mohammad Khair-il Anuar mungkin kurang dikenali di mana-mana pun, kecuali di kawasan Kuala Kangsar.

Namun, nama dan batang tubuh jejaka itu mula menjadi bualan ramai apabila rakaman video yang mengisahkan memori indah beliau bersama bapanya - penyandang kerusi parlimen Kuala Kangsar - kini mula menjadi viral.

Menerusi klip video lagu Pinggiran Syurga, Wan Imar - yang bercita-cita menjadi penyanyi sejak kecil - menceritakan apa yang dihajatinya selepas tragedi yang mengorbankan bapanya di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

"Dari kecil lagi menyanyi sudah menjadi impian saya. Saya memang meminati muzik dan cenderung ke arah itu.

"Jadi saya beritahu arwah ayah, nak buat sarjana muzik.

"Dari situ saya gunakan YouTube, dan alhamdulillah arwah ayah kenal dengan Norman KRU.

"Jadi dari situlah saya diperkenalkan dan kami bekerjasama," kata Wan Imar kepada pemberita di Kuala Kangsar hari ini.

Semalam klip video memaparkan Wan Imar menyanyikan lagu Pinggiran Syurga mula tersebar di media sosial, terutama di Facebook.

Ia diterbitkan KRU Music.

Menurut Wan Imar perancangannya untuk merakamkan lagu itu bermula sejak dua bulan lalu - semasa bapanya masih ada.

Namun takdir Ilahi menentukan segalanya, Wan Mohammad Khair-il meninggal dunia dan rancangan Wan Imar tergendala seketika.

Bagaimanapun atas permintaan Pengurus Besar KRU, Datuk Norman Abdul Halim beliau mempertimbangkan untuk meneruskan hasratnya.

Mengakui sukar untuk menjayakan rakaman tersebut Wan Imar berkata foto arwah banyak membantu menyiapkan lagu dan klip video berkenaan.

"Susah, tapi Norman pandai keluarkan emosi saya. Saya suka berdiam diri tapi Norman pandai keluarkan emosi dengan meminta saya melihat gambar arwah ayah, dan selepas itu barulah saya dapat keluarkan emosi hingga terpapar seperti apa yang ada dalam klip video.

"Itu semua ikhlas dari hati saya terhadap arwah ayah," kata pemuda berusia 25 tahun itu.

Tambah Wan Imar lagu tersebut juga merupakan doa beliau beserta tiga lagi saudaranya kepada arwah Wan Mohammad Khair-il.

Ketika diminta reaksi bonda tercinta beliau, Datin Mastura Mohd Yazid, ketika pertama kali melihat rakaman tersebut, ini jawab Wan Imar: "Mak sudah tengok, dan semestinya dia sebak dan tidak dapat menahan diri. Begitu juga dangan adik-adik dan abang saya sebab semua memori lama tersingkap semula.

"Cuma satu harapan saya, saya seorang anak yang cuba membuat ibu bapa saya bangga dengan diri saya.

"Jadi saya harap lagu ini dapat membuat arwah ayah saya berbangga dengan diri saya walaupun dia kini tiada di dunia," katanya.

Lihat Komen
ADS