Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Salman kepanasan kena kecam kerana celupar
Diterbitkan:  Jun 22, 2016 1:07 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Seolah-olah kes rogol dan keganasan seksual di India belum memadai. Kini muncul Salman Khan dengan kenyataan tidak sensitif yang kemudian dijadikan bahan orang ramai mengecamnya.

Ketika sibuk mempromosi filem terbarunya, pada salah satu majlis dihadirinya Salman dilapor menyamakan pengalamannya bergusti di depan kamera menyebabkan dia berjalan "seperti wanita selepas kena rogol".

Dalam rakaman audio yang dimainkan di stesen televisyen India, beberapa wartawan didengar ketawa dengan kenyataan Salman.

Bagaimanapun sebenarnya kenyataan Salman tidak terhenti di situ saja. Selepas itu dia mengakui komennya mengaitkan mangsa rogol sebagai sesuatu yang wajar.

"Apabila saya berjalan keluar dari gelanggang (selepas beraksi sebagai penggusti di depan kamera), rasa seperti seorang wanita selepas kena rogol," katanya.

Mendengar ketawa wartawan, Salman menyambung komennya: "Saya tak fikir saya patut bercakap begitu" dan cuba menjelaskan apa yang ingin disampaikannya ialah kesukaran berjalan kerana menggunakan tenaga banyak semasa berlakon.

 

 

 

 

 

 

Pada temu bual sama Salman, 50, juga mengaku dapat mengelak semua ketagihan kepada 'maksiat' - seperti rokoh dan arak - kecuali wanita.

Salman sedang aktif mempromosi filem terbarunya, Sultan, di India.

Dalam filem itu Salman membawa watak penggusti profesional, Sultan Ali Khan, yang berdepan masalah kerjaya dan hidup.

Ia digambarkan menyertai pelbagai kejohanan besar dunia termasuk Sukan Komanwel 2010 di Delhi dan Sukan Olimpik London 2012.

Seminggu tempoh untuk Salman

Komen Salman itu segera mengundang kecaman ramai di media sosial. Menggunakan hashtag #InsensitiveSalman, Twitter adalah antara ruang paling banyak digunakan pengkritik untuk mengecam kata-kata Salman.

Penyokong Salman pula menyanggah kempen berkenaan dengan hashtag #SalmanMisquoted.

Sementara itu jurucakap Salman berkata aktor terbabit hanya bergurau. Bapa Salman, Salim Khan, pula berharap orang ramai dapat memaafkan keterlanjuran anaknya.

"Memang jelas Salman bersalah, cuma niatnya bukan begitu. Apa pun saya memohon maaf bagi pihak dia, keluarga, rakan dan peminat," katanya.

Suruhanjaya Wanita Kebangsaan (NCW) India pula memberi tempoh seminggu kepada Salman untuk menarik balik kenyataan berkenaan atau berdepan tindakan undang-undang.

Aktivis hak asasi wanita, Kavita Krishnan berkata bukan Salman saja menggunakan kejadian rogol untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai.

"Perumpamaan kejadian rogol selalu digunakan dalam masyarakat dan filem," katanya.

Data rasmi kerajaan menunjukkan kes keganasan seksual di India semakin meningkat. Antara insiden paling menggemparkan ialah kejadian membabitkan rogol beramai-ramai ke atas seorang pelajar perempuan di Delhi pada 2012.

Mengulas kenyataan Salman, ibu mangsa Asha Pande berkata tidak wajar sama sekali Salman mempersenda mangsa rogol.

Beberapa pelancong asing juga menjadi mangsa kerakusan perogol yang kadang-kadang bertindak secara berkumpulan.

Lihat Komen
ADS