Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas berjaya menyentuh hati penonton di Malaysia, penerbit filem Redha Tunku Mona Riza Tengku Khalid bersyukur karya itu diiktiraf pula oleh juri negara asing.

Filem membawa tema autisme itu berjaya merangkul dua anugerah utama di Festival Filem World Premiers yang berlangsung di Filipina pada Ahad lalu.

“Apabila Redha mendapat pengiktirafan yang tidak disangka-sangka itu, saya berasa lega kerana filem itu mampu bersaing dengan filem dari negara Barat seperti Perancis.

“Mengetahui bukan calang-calang juri yang menjad penilai, kejayaan Redha tentu sangat membanggakan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Anugerah yang diungguli oleh Redha ialah adalah Anugerah Khas Juri - dinilai berdasarkan unsur sosial sejagat yang dibawa menerusi filem berkenaan.

Satu lagi kejayaan Redha ialah memenangi kategori pelakon wanita terbaik melalui Junainah Lojong yang membawa watak Alina - seorang ibu gigih membesarkan anak autistik.

Di festival itu Redha turut bersaing dengan filem dari negara Vietnam dan Belgium untuk kategori utama.

Fahami cerita walau bahasa berbeza

Kata Tunku Mona Riza filem yang menyertai festival berkenaan diadili juri dari Korea Selatan, Hong Kong dan Sepanyol.

Menceritakan detik pengalaman manis itu, Tunku Mona berkata, selepas selesai tayangan perdana di Filipina dia dihampiri oleh beberapa anak muda yang kelihatan merah dan berair mata mereka.

Di situ katanya mereka bertanya pelbagai soalan mengenai penghasilan filem berkenaan, selain tidak putus-putus memuji ‘permainan emosi’ yang dipamerkan sepanjang perjalanan cerita.

“Sebanyak 90 peratus penonton di sana bukanlah orang Malaysia.

“Mereka boleh memahami jalan cerita dan emosi yang dimainkan walaupun hanya membaca menerusi sarikata yang disediakan.

“Ada penonton memberitahu mereka amat menggemari skrip Redha sedangkan ia bukanlah dalam bahasa yang mereka fahami," katanya.

Dalam pada kegembiraan itu, masih ada kekhuatiran yang terdetik dalam hati Tunku Mona, iaitu susur galur penceritaan yang menyelitkan unsur dan nilai moral serta agama Islam.

“Risaulah juga apabila Redha mengandungi unsur Islam seperti ada adegan sembahyang dan tahlil.

“Tetapi perasaan khuatir itu akhirnya hilang apabila ia tetap diterima oleh masyarakat bukan Islam kerana Redha membawa isu universal,” katanya.

Lihat Komen
ADS