Bersempena tayangan filem Kabali yang mempertaruhkan aksi bintang Rajnikanth, beberapa syarikat di Chennai mengisytiharkan cuti kepada pekerjanya hari ini.
Keputusan itu dibuat agar setiap pekerja berpeluang menonton filem berkenaan pada hari pertama tayangannya.
Antara syarikat yang memberi pelepasan itu adalah Opus Waterproofing - sebuah syarikat penyelesaian struktur di bandar itu.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Manoj Pushparaj pendekatan itu diambil bagi mengelak berlakunya 'demam' Kabali.
Katanya jika cuti tidak diberikan kemungkinan besar kakitangan mereka tidak hadir bekerja sebaliknya mengambil cuti sakit, tidak dapat dijejaki atau mendakwa mengalami pelbagai masalah besar.
"Ia dilakukan bagi memberi galakan kepada pekerja.
"Syarikat kami turut menguruskan 48 pembelian tiket untuk pekerja sebagai langkah perkongsian dengan pihak panggung wayang.
"Pekerja datang dari pelbagai daerah di India dan 18 daripada mereka berasal dari Tamil Nadu," katanya.
Sedia penerbangan khas
Sebuah syarikat lagi yang turut memberi pelepasan kepada pekerja adalah syarikat pengurusan data Pyndus India Pvt Ltd.
Kata Manoj, keputusan itu juga diambil ekoran fenomena Kabali yang ditunjukkan oleh pekerja beberapa minggu sebelum penayangan filem itu yang dijadual hari ini.
Kemunculan Rajnikanth dalam Kabali memang ditunggu-tunggu peminatnya di seluruh dunia.
Pada hari pertama tayangannya di India, dianggarkan ada kira-kira 12,000 pagawam mengambil bahagian.
Sebelum filem itu ditayangkan Kabali sudah mengumpul perolehan kira-kira AS$30 juta daripada penjualan hak kepada syarikat yang berminat.
Ia juga dialih bahasa kepada bahasa Telugu, Hindi dan bahasa Melayu.
BBC melaporkan syarikat perbangan tambang murah AirAsia pula mengadakan penerbangan khas dari Bangalore ke Chennai dengan menyediakan makanan kegemaran Rajinikanth.
Penerbangan khas itu akan membawa 180 peminat Rajinikanth menonton tayangan perdana Kabali.
Sebuah hotel mewah di Bangalore pula mengadakan tayangan khas di premis mereka dengan setiap tiket dijual pada harga hampir RM80.
