Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pada pagi raya Aidilfitri, biasanya orang akan berkumpul di kampung halaman. Meraikan kejayaan sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan. Menyatukan kembali ikatan kekeluargaan dan persahabatan yang sudah longgar kerana kesibukan berkarya atau berkerja di perantauan atau di kampong halaman sendiri.

Pada pagi raya, selepas solat sunat Aidilfitri, imam di mimbar turun bersalam-salaman dengan para makmum. Si anak menghulur salam pada ibu bapa. Isteri mencium tangan suami. Sahabat handai berjabat tangan memohon kemaafan. Inilah rakaman zaman berzaman tentang tradisi hari raya Aidilfitri.

Dalam lagu ‘Selamat Hari Raya’ dendangan Ahmad Jais menyebut:
Selamat hari raya
Aidilfitri mulia
Ampun maaf diminta
Mensuci hening dosa.

Itu bukan pantun tetapi ada unsur puisi Melayu lama. Untuk generasi yang masih hijau muda, belajar sampai ke universiti atau pondok mana sekalipun, pantun Melayu lama janganlah kalian lupakan.

Yang belajar kejuruteraan, kedoktoran apa sekalipun harus menghargai warisan dengan setidak-tidaknya belajar dan menghafal pantun-pantun lama. Pantun-pantun yang sangat bernilai dihasilkan oleh pencipta-pencipta tak bernama.

Pencipta-pencipta itu ingin pantun-pantun mereka dikongsi dan dimiliki semua.

Pantun memanglah bukan potongan dari al-Quran atau hadis yang harus kalian hafal setidak-tidaknya memenuhi syarat untuk sahnya ibadah solat.

Pantun adalah antara akar-akar bahasa dan budi orang Melayu berkomunikasi secara seni. Dengan seni bahasa yang indah, maksud kata akan mudah diterima. Telah menjadi sifat orang Melayu beradat, menyampai sesuatu maksud secara berkias atau memberi pembayang terlebih dahulu.

Alat bahasa bertamadun

Cara orang Melayu tidak direct to the point. Tidak seperti sikap orang moden sekarang. Cakap berterus terang walaupun mudah untuk menyampaikan mesej tetapi seringnya melukakan dan merenggangkan hubungan.

Benarlah pantun lama kita yang sangat popular menyebut:
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Bahasa sering dikaitkan dengan keindahan dan budi. Bahasa bukan soal alat perhubungan tetapi alat bahasa yang bertamadun.

Bahasa Melayu adalah bahasa penyebarkan Islam di alam Melayu. Bahasa Melayu adalah lingua franca gugusan kepulauan ini. Ia dipertuturkan oleh pembesar, saudagar atau pahlawan asing yang berurusan dengan alam Melayu.

Jangan kata bahasa Melayu itu terpisah dengan Islam. Mahu tahu lanjut, kena baca buku Pak Naquib al Attas.

Pantun adalah salah satu cabang keindahan bahasa Melayu. Sewaktu kecil kami dulu, ada pantun yang sangat popular diingati. Pantun mempunyai beberapa jenis pantun. Ada pantun dewasa, pantun nasihat, pantun agama dan sebagainya. Sewaktu kecil dulu, kami dibesarkan dengan pantun, gurindam dan seloka.

Lagu-lagu pop seperti Ahmad Jais, Rafeah Buang, Sanisah Huri dan lain-lain ketika itupun masih lagi terpengaruh dengan elemen pantun lama. Tetapi sekerat pantun ini adalah pantun kanak-kanak.

Mengata tak menegur

Sebagai budak-budak kampong dulu, secara sopan untuk melahirkan perasaan antaranya adalah melalui lantunan pantun-pantun yang kami hafal di sekolah atau madrasah.

Biasalah, budak-budak kecil suka merajuk kerana sebab-sebab yang remeh temeh. Di sekolah rendah contohnya, kawan tak bagi pinjam pemadam, pengasah atau tidak bagi ditiru, sudah merajuk. Pada orang matang, benda semacam itu kecil tetapi pada budak-budak sekolah rendah, besar beb! Itu soal prinsip!

Pantun itu aku masih ingat. Begini bunyinya:
Anak rusa nani,
Baru kembang ekor;
Apa dosa kami
Lalu tidak tegur?

Ganti nama "kami" dalam pantun itu tidak semestinya dirujuk ganti nama jamak. Kanak-kanak gemar menggunakan ganti nama jamak bagi ganti nama tunggal. Ini menunjukkan bahawa sifat kanak-kanak yang suka bersosial dan tidak bersifat individu.

Kadang kala mereka menggunakan gantinama "kita" bagi mewakili dirinya sendiri yang tunggal. Bukan tidak faham penggunaan ganti nama jamak dan tunggal tetapi itulah tabiat kanak-kanak.

Pantun kanak-kanak tersebut, adalah suatu pertanyaan yang ikhlas daripada seorang kanak-kanak pada rakannya yang tidak mahu menegurnya. Tentunya tujuannya adalah untuk memperbetulkan kesalahan dan meneguhkan kembali perhubungan antara mereka.

Sungguh bijak pencipta pantun itu menggunakan "anak rusa nani" yang "baru kembang ekor" sebagai objek di bahagian pembayang. Pencipta pantun cuba memberikan gambaran bahawa anak rusa itu masih muda dan banyak perkara yang mereka perlu pelajari.

Ini ada pertalian dengan sebuah pantun Melayu lama yang juga popular:
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Kami budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Istilah "tunjukkan" pada pantun tersebut bermakna mahu belajar dan rela menerima teguran. Menegur dalam bahasa Melayu memberi beberapa makna. Makna pertama adalah memberi sapaan, dan kedua, menasihati.

Kedua-dua makna itu memberi makna bahawa wujudnya perhubungan antara satu sama lain.

Jiwa tidak berdendam

Mengelak daripada disapa, enggan memberi atau membalas salam adalah perangai puak jahiliyah, lebih-lebih lagi kalau berlaku di rumah Allah. Adakah perangai macam itu berlaku? Adalah! Sebab itu aku tulis.

Pagi raya atau malam raya atau pada masa bila pun, perangai itu memang jilake (ibarat kata-kata trending sekarang).

Tegurlah walau berbeza pandangan. Jangan kerana berkhilaf sesama sendiri, habis ikatan silaturahim dibongkar jauh. Yang dikhilafkan, belum tentu kebenaran yang dipegang pada akhirnya. Sia-sia saja.

Apabila mendengar kawan berpantun begitu, hilang marah dan terputiklah senyuman. Kanak-kanak memang begitu. Cepat merajuk. Tetapi cepat dipujuk. Jiwanya tidak berdendam. Hatinya masih bersih suci daripada sebarang noda kedengkian dan kesombongan.

Berbeza dengan hati orang yang sudah berkematu kerana dosa, dendam dan sombong. Pantun belum tentu melembutkan hati orang. Lebih malang lagi, jika yang digaduhkan adalah soal remeh-temeh yang diperbesar-besarkan sehingga tenggelam kebijaksanaan.

Media sosial yang sangat meluas digunakan sebagai medan bergaduh, bertekak hingga meleret-leret ke tabir malam. Perangai budak-budak memang begitu. Tetapi amat malang jika orang tua berperangai kebudak-budakkan. Hodoh benar rupanya.

Telah menjadi tradisi amalan orang Melayu saling bermaaf-maafan di hari raya berzaman-zaman.

Menziarahi rumah sanak saudara dan rakan taulan. Menaut kembali persaudaraan dan silahturrahim. Untuk yang memiliki kemampuan, diadakan open house bagi memberi kesempatan dan kemudahan untuk sanak saudara serta rakan taulan datang.

Ini bukan soal makan, hidangan yang dijamu atau duit raya (bagi kanak-kanak). Ini adalah pembaikan kepada amalan ziarah di bulan Syawal.

Kerana sekuntum bunga cina

Dahulu, ziarah di bulan Syawal tiada istilah open house. Datang saja sepanjang bulan Syawal. Rumah sentiasa terbuka menerima tetamu. Inilah waktu terbaik untuk meminta maaf. Manusia mana yang tiada berdosa melainkan nabi?

Jemputlah datang ke rumah kawan di bulan Syawal. Adakah bulan Syawal yang berbaki akan diambil kesempatan untuk memperbaiki hubungan yang sudah lama longlai layu untuk kembali dibina persefahaman lebih padu?

Untuk akhirnya, ada sebuah pantun kanak-kanak yang mengajak pembaca agar bukan sekadar memandang jauh ke hadapan tetapi mempunyai makna yang dalam.

Buai laju-laju,
Sampai balik sana;
Apa dalam baju,
Sekuntum bunga cina.

Jangan kerana "sekuntum bunga cina" itu, lalu kita tidak mahu sapa menyapa. Ia tiada kiatan dengan orang Cina. Ia hanyalah Gardenia Augusta. Hanya nama bunga! Saja aku terkenang-kenang zaman bersekolah yang penuh tidak kematangan dan kekecohan yang sementara menanti erti dewasa dan bijak untuk memaknai situasi masa kini.

Rupa-rupanya di dalam masyarakat yang moden hari ini, politik matang itu tidak kesampaian juga. Hanya angan-angan atau slogan kosong apabila salam tidak bersambut.

Selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir batin, kawan.


DR MUHAIMIN SULAM berangan-angan menjadi perakam budaya dan seni Melayu yang hampir tercabut daripada dirinya angkara terjebak jerangkap ‘biolpolitik’ sambil seakan-akan mencari makna dirinya sebagai orang Melayu yang dikelilingi kerencaman budaya dari etnik, parti dan mazhab yang pelbagai

Lihat Komen
ADS