Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Keamanan dan keharmonian negara menjadi amanah bersama dan bukan tanggungjawab ‘eksklusif’ polis semata-mata.

Meskipun Temuan Takdir - filem aksi bercorak kepolisan - adalah hasil buah tangan Dhyan Vimal yang pertama, namun ia tidak menghalangnya untuk menghasilkan karya yang sarat mesej.

Dalam memperjuangkan keharmonian dan keamanan versi Dhyan, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu menjadikan perpaduan sebagai prinsip utama dalam kehidupan.

“Hanya perpaduan dapat menjulang budaya di Malaysia, dan saya pasti negara ini masih mempunyai kualiti seperti itu.

"Siapa yang perlu menjaga keamanan negara kalau bukan diri kita sendiri?

“Itu sebab saya menghasilkan Temuan Takdir agar dapat menjawab persoalan itu dan membuka mata masyarakat kerana sejak kebelakangan ini nampaknya ada banyak perkara atau pihak cuba memecah-belahkan kita,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Dhyan tidak mahu mengulas lanjut mengenai cubaan 'memecahbelahkan' perpaduan itu.

Selain mengarah, Dhyan juga bertindak selaku penerbit dan pelakon dalam Temuan Takdir.

Dia juga terkenal sebagai penceramah antarabangsa, pengarang dan tokoh korporat.

Filem ini mengisahkan dua beradik polis ASP Tuan Roslan (Datuk Zahim Albakri) dan Inspektor Shariff (Ery Zukhairi) yang memburu dalang di sebalik rompakan van keselamatan.

Filem yang dijadual menemui penonton mulai 11 Ogos ini turut dijayakan pelakon lain seperti Vanidah Imran, Azura Zainal, Amai Kamarudin, Thanuja Ananthan dan Malieq Abdullah.

'Saya mahu Malaysia'

Kata Dhyan, bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian, jurang yang wujud antara tiga kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India harus dihapuskan.

Menurutnya, perpaduan kaum umpama isu dalam rumahtangga di mana konflik yang kecil harus diselesaikan agar tidak melarat.

“Kita perlu berhati-hati agar tidak timbul isu hasutan yang boleh memisahkan Melayu, Cina dan India.

“Sekiranya timbul perselisihan faham, kita harus selesaikan masalah itu dengan segera untuk membendung situasi yang dihadapi,” katanya.

Ditanya apakah harapannya terhadap isu yang sedang melanda seperti kes 1MDB atau keadaan politik negara, Dhyan hanya menjawab: “Saya mahu Malaysia.”

Dhyan berkata, dia mahu melihat situasi di Malaysia kembali jernih dan rakyat jelas dengan perkara yang diperjuangkan.

“Saya mahu rakyat negara ini tahu apa yang mereka pertahankan.

“Dalam situasi seperti ini, selain keharmonian dan keamanan, kita perlu mempertahankan kejujuran dan kesamarataan.

“Sesuatu perkara yang dianggap mengacau kita kena lihat ia sebagai musuh dalam selimut,” katanya.

Lihat Komen
ADS