Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
“Ini festival Malaysia, bukan festival Melayu”
Diterbitkan:  Aug 4, 2016 5:57 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Bukan perkara baru apabila seolah saban tahun, acara berprestij Anugerah Festival Filem (FFM) Malaysia pasti ‘dilonggokkan’ dengan isu panas.

Kali ini masalah yang timbul disebabkan tercetusnya polemik perkauman - menerusi kategori Filem Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia yang dicalonkan bagi Anugerah Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28).

Presiden Persatuan Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS), Alfie Palermo menerusi kenyataan medianya mempersoalkan kewujudan pengasingan dalam kategori filem terutama membabitkan Bahasa Melayu dan bukan bahasa kebangsaan itu.

Katanya, pengasingan itu benar-benar berada di tahap membimbangkan.

“Yang paling merunsingkan dan paling menjengkelkan adalah kewujudan kategori Filem Bukan Bahasa Melayu.

“Mengapa Finas dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) mewujudkan kategori rasis?

“Di mana peranan Finas dan PFM dalam memupuk semangat perpaduan dalam perfileman negara?” soalnya.

Dalam pada itu, Alfie turut mempersoalkan di manakah konsep 1Malaysia yang disarankan oleh kerajaan.

Alfie turut menegaskan pencalonan festival filem berkenaan tidak perlu termaktub bagi satu kaum sahaja sebaliknya ia perlu diraikan secara menyeluruh dengan berkata: “Ini festival Malaysia bukan festival Melayu!.”

Sehubungan itu, PENULIS menolak majoriti pencalonan terakhir kerana beranggapan senarai berkenaan tidak ‘masuk akal.’

“PENULIS dengan rasminya menolak majoriti pencalonan Lima Teratas kecuali filem benar-benar berkualiti seperti Ola Bola dan Jagat yang selayaknya memenangi kesemua anugerah pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Walaupun tidak bersetuju dengan kebanyakan senarai pencalonan, Alfie tetap berpihak kepada filem seperti Polis Evo, Love Supermoon dan Nota dengan alasan ia layak diiktiraf.

Tetapi pencalonan bagi filem seperti Polis Evo dan Suamiku Encik Perfect 10, kata Alfie, masih berada di takuk lama.

Justeru, Alfie memohon Finas mengambil langkah sewajarnya sebelum acara kemuncak itu yang dijadual berlangsung pada 3 September dilaksanakan.

“Sebagai penulis lakon layar profesional, kami melihat pencalonan Festival Filem Malaysia semakin memalukan negara tahun demi tahun.

“Kami memohon agar Finas merombak semula mekanisma pencalonan serta melakukan penapisan pemilihan pencalonan yang sewajarnya sebelum acara kemuncak itu berlangsung,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS