Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Aku sokong kau, Afdlin Shauki!

Aku memang tunggu pendirian berani sebegini. Bukan kerana aku nak bodek kau, berharap kau ajak aku berlakon atau buat filem bersama, atau buat misi kemanusiaan bersama. Bukan.

Bukan juga kerana pendirian kau disokong bos CIMB dan AirAsia.

Selepas beberapa jam kauhantar pendirian itu dalam media sosial, sedikit demi sedikit orang yang berani tampil menyokong kau. Benar kata kau. Ini soal prinsip.

Afdlin Shauki membuat keputusan untuk memboikot Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 ini kerana penganjur mewujudkan dua kategori filem terbaik berdasarkan perbezaan bahasa. Sebelum ini, hanya ada satu kategori filem terbaik sahaja.

Bagi filem yang berbahasa Malaysia, terdapat lima filem bersaing untuk filem terbaik. Filem tersebut ialah Nota, Polis Evo, Munafik, Mat Moto – Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit dan Jejak Warriors.

Manakala filem terbaik bagi kategori bukan dalam bahasa Malaysia ialah Ola Bola, Maravan, Jagat, Huat The Fish dan The Kid From The Big Apple.

Begitu juga, anugerah Pengarah Filem Terbaik juga dipisahkan dengan dua kategori yang sama.

Angkat martabat bahasa

Pengarah Polis Evo, Ghaz Abu Bakar, Saw Teong Hin (Jejak Warriors), Shamyl Othman (Rembat), Syamsul Yusof (Munafik) dan Wan Hasliza Wan Zainuddin (Love Supermoon) dipisahkan daripada pengarah filem Ola Bola, Chiu Keng Guan, Jess Teong (The Kid From The Big Apple), Puvanendran Selvaraja (Maravan), Shanjhey Kumar Perumal (Jagat) dan Silver Yee Kwan Huah (Huat The Fish) yang dikategorikan calon Pengarah Terbaik bagi kategori Filem Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia.

Penganjur FFM ke-28 jangan keliru dan bingung dengan kritikan sebegini. Filem Malaysia bukanlah wahana pembelajaran bahasa Malaysia meskipun seharusnya penerbit boleh memperbaiki lagi penggunaan bahasa kebangsaan dalam filem-filem. Ini bukan TV Pendidikan (oh, ia sudah diswastakan, bukan?).

Aku memang mahu penerbit filem Malaysia bersama-sama mengangkat penggunaan bahasa kebangsaan dalam karya mereka dengan mengeluarkan karya menggunakan bahasa itu sepenuhnya.

Tetapi tentu ada halangan dan cabarannya. Sebaliknya juga, perlu difahami bahawa filem adalah gambaran pada kehidupan sebenar.

Bahasa Malaysia atau bahasa Melayu itu bukan saja dipinggirkan oleh para karyawan, malah bahasa kebangsaan ini sudah lama dinazakkan oleh kita semua.

DBP anjur festival

Menjadi tanggungjawab semua pihak - termasuk karyawan dalam industri perfileman - bertindak untuk negara kita. Mereka pun ada tanggungjawab sosial masing-masing.

Sementelahan pula pihak berkuasa gemar mengambil pendekatan tindakan afirmatif (affirmative action) bagi memelihara kedaulatan dan maruah bahasa Malaysia.

Demi menyelamatkan filem-filem bahasa Malaysia, diwujudkan kategori-kategori yang kononnya dapat mendaulatkan filem berbahasa Malaysia.

Begitu juga FINAS dan FFM perlu mendidik penerbit filem ‘kategori bahasa Malaysia’ supaya mengeluarkan karya berkualiti, bukan memancing dengan anugerah ‘filem terbaik’ tetapi kurang nilai, seni dan estetikanya.

Oh.... aku teringin menyaksikan filem yang setara Penarik Beca atau Antara Dua Darjat dapat kembali dihasilkan.

Filem terbaik bukanlah sekadar isu sekitar penggunaan bahasa Malaysia yang standard. Jika mahu buat pertandingan jenis sebegitu, elok Dewan Bahasa dan Pustaka yang menganjurkan FFM ini.

Namun ada juga baiknya sebuah badan yang tugasnya memartabatkan bahasa Malaysia menjadi penganjur.

Filem terbaik adalah filem yang menggabungkan kemahiran perfileman kreatif dan mengangkat pemikiran khalayak. Filem terbaik adalah filem yang menghargai penonton dengan menawarkan satu pandangan baru, menginspirasi, memiliki seni dan berkualiti.

Filem terbaik bukan memperbodohkan penonton dengan adegan picisan dan murahan.

Pisang berbuah tiga kali

Mengkategorikan persaingan filem berdasarkan perbezaan bahasa adalah pendekatan aparteid atau rasis. Tetapi pada aku, isu paling utama membuat aku turut bersama ‘tumpang semangkuk’ dengan Afdlin Shauki adalah kerana aku bimbang sangat dengan masa hadapan filem ‘kategori bahasa Malaysia’.

Ada kemungkinan filem jenis ini akan menjadi kategori kelas kedua suatu hari nanti.

Kita sepatutnya membawa keluar filem kategori ini dari tempurung kepala orang yang asyik dalam hiburan semata-mata, bersifat populis, berciri mee segera dan langsung tidak membantu mengangkat martabat bangsa.

Penonton dikhayalkan dengan seribu mimpi yang mengarut. Justeru panjanglah angan-angan orang Melayu. Benarlah puisi Melayu Usman Awang menyebut:
Berbuah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Meski mengenal universiti
Masih menumpang di rumah sendiri.

Filem ‘kategori Bahasa Malaysia’ mesti bersaing dengan filem Malaysia yang mampu menarik penonton pelbagai kaum meski membawa isu-isu yang ringan dan mudah.

Pengkategorian ini menjadikan filem tersebut tiada daya saing dan lemah.

Usah berbicara hendak bersaing di peringkat antarabangsa jika filem kita masih dengan sifat syok sendiri. Cukuplah orang Melayu dan barang-barangan berjenama Melayu ini mendapat ‘hak-hak keistimewaan’.

Hakikatnya ‘hak-hak keistimewaan’ itu hanyalah mitos dan menjadikan orang Melayu semakin jauh ke belakang. Ayam menang sabung, kampung habis tergadai.

Tanpa menafikan filem ‘kategori bahasa Malaysia’ dikeluarkan oleh penerbit-penerbit bukan Melayu tetapi rata-ratanya para pelakon dan krunya adalah orang Melayu.

Cukuplah orang Melayu kenyang dengan nama dan kemasyhuran palsu melalui populariti dan habuan jangka pendek.

Harap-harap FFM pada masa akan datang jangan pula buat kategori 'filem Islamik terbaik’. Pengkategorian sebegini hanya menambah-nambah kepandiran orang Melayu dalam berkarya.

Lihat Komen
ADS