Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Diasingkan tapi Jagat tak boikot FFM ke-28
Diterbitkan:  Aug 8, 2016 1:03 PM
Dikemaskini: 5:10 AM

Di sebalik rasa tidak puas hati dan kritikan ramai terhadap cara Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 dikendalikan, produksi filem Jagat mengambil keputusan tetap menyertai temasya itu pada 3 September ini.

Berasakan pencalonan Jagat adalah pengiktirafan dan pencapaian tertinggi buat mereka, penerbit eksekutif filem berkenaan Sivanantham Perianan berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mereka melakukan penelitian mendalam.

Dalam kenyataan bersama dibuat semalam, Sivanantham dan pengarah Shanjey Kumar Perumal berkata pendirian itu tidak bermakna mereka menidakkan perjuangan beberapa penggiat seni sebelum ini menyatakan untuk memboikot FFM ke-28 ekoran isu pengkategorian pencalonan.

"Kami juga merakamkan penghargaan kepada ahli politik dan ahli perniagaan yang menyuarakan pendapat serta cadangan masing-masing demi kepentingan penganjuran festival ini.

"Bagaimanapun kami daripada pihak filem Jagat mengambil pendirian untuk bekerja ke arah pencapaian hasrat yang sama seperti rakan-rakan seperjuangan tetapi melalui strategi yang berlainan," katanya.

FFM ke-28 menjadi perhatian apabila penganjur mengasingkan pencalonan antara filem berbahasa Malaysia dan bukan berbahasa Malaysia.

Disebabkan syarat itu beberapa filem terpisah untuk merebut anugerah yang ditawarkan, termasuk filem terbaik dan pengarah terbaik.

Jagat diletakkan dalam kategori filem bukan dalam bahasa Malaysia. Turut tersenarai dalam kategori itu ialah Ola Bola, The Kid From The Big Apple, Maravan dan Huat The Fish.

Bagi kategori pengarah dan filem terbaik berbahasa Malaysia, filem yang tersenarai ialah Jejak Warriors, Rembat, Munafik dan Love Supermoon.

Ada ruang tambah baik

Antara tokoh yang menyatakan bantahan mereka ialah Afdlin Shauki, pengarah sinematografi Mohd Noor Kassim - yang memenangi dua trofi melalui filem Setem pada 2009 dan Hikayat Merong Mahawangsa (2011), penggerak Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) Al Jafree Md Yusop dan Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (PENULIS) Alfie Palermo.

Jagat tercalon dalam sembilan kategori - enam kategori terbuka dan tiga lagi pencalonan untuk bukan bahasa Malaysia – bagi FFM ke-28 ini.

Sivanantham dan Shanjey berkata pencalonan Jagat memberi dorongan untuk mereka terus bergiat aktif dan maju dalam bidang perfileman.

“Mereka menyatakan pendirian dan mengisytiharkan memboikot FFM, namun kami percaya ada ruang bagi penambahbaikan dalam penganjuran festival ini,” kata kenyataan itu.

Tahun ini ada dua kategori baru diwujudkan bagi filem yang tidak menggunakan 70 peratus bahasa Malaysia dalam karya mereka iaitu Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Kategori filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia Terbaik pula mula diperkenalkan di Festival Filem Malaysia sejak 2011.

Sementara itu Sivanantham dan Shanjey berkata berdasarkan penelitiaan mereka mendapati akta yang berkaitan dengan isu itu - Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 tidak menyentuh tentang penggunaan bahasa kebangsaan sebagai hanya satu-satunya medium pembikinan filem.

Malah, kata mereka, tiada definisi memperuntukan apakah makna filem kebangsaan atau filem Malaysia.

"Jika isunya tidak melibatkan akta tetapi peraturan-peraturan yang diadakan jawatankuasa melaksanakan FFM, maka kami ingin merujuk kepada peraturan-peraturan yang telah digariskan di dalam borang pencalonan FFM ke28.

"Hasil penelitian, borang pencalonan tidak menggariskan bahawa filem yang memohon menyertai festival perlu menggunakan bahasa kebangsaan sebagai medium.

"Malah, tiada ruang pencalonan disediakan untuk kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik (Bukan Dalam Bahasa Malaysia) & Lakon Layar Terbaik (Bukan Dalam Bahasa Malaysia).

"Berdasarkan surat Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) kepada Finas, keputusan untuk mewujudkan kategori-kategori tersebut dibuat dalam mesyuarat tergempar pada 14 Julai 2016," kata mereka.

Justeru Sivanantham dan Shanjey memohon PFM menjelaskan apakah sumber rujukan penganjur untuk menetapkan sesebuah filem mesti menggunakan sekurang-kurangnya 70 peratus bahasa Malaysia bagi dinilai juri FFM kali ini.

"Seandainya peraturan ini ditetapkan jawatankuasa yang diamanahkan untuk menganjurkan FFM, kami percaya ianya boleh dirombak menerusi sesi dialog dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak bagi kepentingan industri perfileman Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS