Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
FFM: Orang kuat FDAM pula letak jawatan
Diterbitkan:  Aug 8, 2016 8:26 PM
Dikemaskini: 3:17 PM

Satu lagi 'tamparan' untuk penganjur Festival Filem Malaysia ke-28 hari ini apabila Penolong Setiausaha Agung Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) meletak jawatan.

Dalam kenyataan dimuat naik di Facebooknya Hafiz Ibrahim berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kepada prinsip dan tanpa sebarang prejudis kepada jawatankuasa FDAM.

Kata Hafiz dia berpegang teguh pada fahaman bahawa semua filem Malaysia perlu dipertandingkan tanpa pemisahan atau diasingkan oleh bahasa.

"Saya sudah memaklumkan keinginan saya (meletak jawatan sebagai penolong setiausaha agung FDAM) dan status saya bergantung kepada penerimaan jawatankuasa berkenaan," katanya yang baru-baru ini mengarahkan filem Tulus Ikhlas.

FFM kali ini menjadi perhatian ramai apabila penganjur mewujudkan dua kategori berbeza untuk pencalonan, masing-masing bagi filem menggunakan sekurang-kurangnya 70 peratus bahasa Malaysia dan filem yang tidak mencapai tahap berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan beberapa filem - seperti Ola Bola dan Jagat - dicalonkan untuk kategori filem bukan dalam bahasa Malaysia.

Keputusan penganjur mencetuskan banyak bantahan, termasuk oleh pengarah, pelakon dan pelawak Afdlin Shauki, penulis skrip Al Jafree Md Yusop dan Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (PENULIS) Alfie Palermo.

Pemenang dua kali anugerah sinematografi terbaik Mohd Noor Kassim pula memberitahu akan memulangkan trofi yang dimenanginya melalui filem Setem pada 2009 dan Hikayat Merong Mahawangsa (2011) sebagai tanda bantahan.

Pulang atas pentas

Bagaimanapun kontroversi melanda FFM bukanlah baru.

Pada Disember 1986 penyair dan penulis Pyanhabib membuat bantahan dramatik apabila menerima - dan memulangkan semula - trofi dimenanginya di atas pentas majlis itu dilangsungkan.

Insiden itu berlaku pada FFM keenam dan Pyanhabib memenanginya bagi kategori pelakon pembantu lelaki terbaik.

Tahun lalu pula Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan FDAM mempertikaikan pencalonan penganjur - antara lain kerana ada antara mereka tidak memenuhi syarat ditetapkan iaitu menjadi ahli kepada persatuan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), FDAM atau Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima).

Sementara itu bercakap kepada Malaysiakini Pyanhabib berkata dia memulangkan semula trofi berkenaan kerana ia dimenangi melalui filem Tsu Feh Sofiah arahan Datuk Rahim Razali.

"Sedangkan saya dicalonkan hanya melalui filem Kembara Seniman Jalanan.

"Memang dari awal saya berniat tak mahu terima (sebab dicalonkan melalui filem lain dan menang pula sebagai pelakon filem lain).

"Saya tak ada niat mahu terima tapi disuruh kawan-kawan wartawan supaya hadir sebagai menghormati pencalonan pelakon pembantu lelaki terbaik untuk Kembara Seniman Jalanan.

"Semasa nama dipanggil (untuk filem Tsu Feh Sofiah) saya saya enggan tapi apabila ditolak ke pentas, saya terima, ucap terima kasih dan pulangkan kepada Tan Sri Jins Shamsuddin (yang menyampaikan trofi berkenaan)," katanya.

Menurut Pyanhabib panel juri menolak pencalonan Kembara Seniman Jalanan atas alasan ia memaparkan lakonan Datuk M Nasir yang ketika itu masih warga Singapura.

"Filem itu ditolak kononnya kerana membabitkan karyawan luar negara, tetapi sebenarnya ada isu lebih besar mengapa ia tidak dinilai juri," katanya.

Lihat Komen
ADS