Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Lihat Matinya Seorang Patriot, Abang untuk martabat bahasa filem

Jika mana-mana pihak mahu memartabatkan bahasa Malaysia dalam filem nasional, karya seperti Abang dan Matinya Seorang Patriot wajar menjadi rujukan, kata Persatuan Penulis Nasional (PENA).

Setiausaha agungnya S M Zakir berkata ketika ini jika dilihat dari sudut konteks perfileman karya tempatan dikhuatiri kehilangan identiti dan jati diri disebabkan percambahan budaya yang tidak dapat dielakkan.

Mengakui menyokong keputusan penganjur Festival Filem Malaysia (FFM) menyediakan dua kategori berasingan untuk penilaian tahun ini Zakir berkata ia wajar jika dibuat demi memartabatkan bahasa Malaysia.

“Berdasarkan konteks rasmi, wajarlah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menggunakan bahasa kebangsaan sebagai usaha meninggikan kedudukan filem negara," katanya.

Namun menurut konteks perfileman pula, Zakir berpendapat ia diibaratkan sebagai ruang tersepit antara suasana dan mutu sesebuah karya.

“Perkara ini terjadi kerana kebanyakan filem Melayu dilihat banyak menggunakan bahasa slanga dan pasar yang tidak menepati ciri-ciri bahasa kebangsaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Selepas pelbagai pandangan dan aksi ditunjukkan berhubung penganjuran FFM kali ini, semalam Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengumumkan penyertaan bagi Anugerah Filem Terbaik dibuka kepada semua penggiat industri filem di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kementerian itu turut mewujudkan kategori baru iaitu Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan.

Finas perlu adil

Penganjur FFM - Finas dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) - sebelum ini membezakan filem mengikut penggunaan bahasa Malaysia dan bukan bahasa Malaysia dalam tiga kategori pencalonan.

Ekoran pengasingan itu, beberapa tokoh seperti Afdlin Shauki bertindak memboikot malah bekas pemenang dua anugerah sinematografi terbaik FFM Mohd Noor Kassim memulangkan trofinya dalam plastik hitam kelmarin.

Menurut Zakir, Finas perlu adil dalam menentukan sesebuah karya itu bermutu jika masih mengutamakan penggunaan bahasa Malaysia.

Sehubungan itu, Zakir mencadangkan pihak yang berkenaan merujuk kepada Kongres Kebudayaan kebangsaan 1971 dan melakukan penambaikan sejajar dengan peredaran masa.

“Jika 70 peratus penggunaan bahasa Malaysia perlu bagi melayakkan dalam pencalonan kategori terbaik kita kena tanya semula adakah filem itu menepati bahasa kebangsaan atau mempunyai tutur kata mengikut hukum bahasa yang baik dan betul.

“Filem Ada Apa Dengan Cinta misalnya juga menggunakan bahasa Melayu dengan baik berbanding karya tempatan yang kebanyakan menggunakan bahasa pasar dan slanga yang bertaraf rendah.

“Ini lebih menjadi masalah kerana ia mereputkan bahasa, kita tidak menyedarinya dan hal itu yang sebenarnya merosakkan,” katanya.

Abang dan Matinya Seorang Patriot diarahkan Datuk Rahim Razali dan ditayangkan masing-masing pada 1981 dan 1984.

Rahim sendiri membawa watak utama dalam filem Abang, bersama ramai pelakon disegani seperti Ahmad Yatim, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Noorkumalasari dan allahyarham Datuk S Roomai Noor.

Selain mencatat banyak kejayaan dalam negara dalam FFM keenam (1981) Abang turut memenangi anugerah pelakon wanita harapan Festival Filem Asia Pasifik 1982 melalui Ogy Ahmad Daud.

Matinya Seorang Patriot pula menampilkan Eman Manan sebagai watak utama, di samping Noorkumalasari, Azmin Mustapha, Zulkifli Zain dan allahyarham Saadiah.

Ia mencatat kejayaan besar dalam FFM kelima (1984) apabila mengungguli tujuh kategori termasuk filem terbaik (penerbit Zarul Albakri), pengarah terbaik (Rahim), pelakon lelaki terbaik (Eman) dan penyunting terbaik (Mior Hashim Manap).

Lihat Komen
ADS