Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Zahiril menangis kerana Pekak, lari sebab rogol

Kegelisahan berdepan minit-minit mendebarkan ketika adegan rogol membuatkan pelakon Zahiril Adzim berlalu pergi meninggalkan lokasi penggambaran Pekak sepantas yang mungkin.

Namun, jangan salah sangka, babak rogol itu tidak dilakonkan oleh Zahiril, malah dia juga bukan seorang pelakon yang gemar mengabaikan sesuatu tugasan.

Walaupun Zahiril boleh dikatakan sering melakonkan filem yang bertema ganas, dia tetap menunjukkan ciri-ciri seorang manusia yang berperikemanusiaan.

Dan ada kalanya Zahiril tidak tabah untuk membiarkan dirinya melihat adegan terkutuk yang dimainkan karakter lain dalam Pekak meskipun ia hanyalah sebuah lakonan.

“Saya cuma tidak mahu menyaksikan babak rogol, tidak sanggup.

“Terlebih dahulu saya meminta pengarah menghabiskan babak yang perlu saya dilakukan pada hari itu sebelum beredar tanpa pengetahuan dia," katanya merujuk kepada pengarah, Mohd Khairul Azri.

Zahiril atau nama penuhnya Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 32, ditemui di sidang tayangan media Pekak di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pekak yang dijadual ditayangkan di seluruh negara pada 1 September ini, turut dijayakan Sharifah Amani dan Sharifah Sakinah (gambar).

Bercakap kepada Malaysiakini, Zahiril berkata dia membawa watak Uda - seorang pemuda yang mempunyai kecacatan pendengaran dan menyara hidup sebagai pengedar dadah.

Uda menjalankan aktiviti pengedaran dadah demi menampung kos rawatan koklea untuk memulihkan pendengarannya.

Takut dibenci ramai

Disebabkan watak Uda bukan seperti si pekak yang biasa sebaliknya pengedar dadah, pembabitan aktiviti itu menimbulkan keresahan pada Zahiril.

“Boleh ke umum terima watak pekak itu jahat? Lalu timbul kekhuatiran sekiranya orang ramai dan orang kurang upaya (OKU) khususnya cacat pendengaran membenci saya hanya kerana watak Uda.

“Namun kita sudah begitu terbiasa dengan pemikiran bahawa watak OKU harus menjadi baik tetapi Pekak adalah sebaliknya dan ia menyajikan kebenaran yang patut diraikan.

“Saya mahu bagi penonton sedar wujud realiti sebegini. Walaupun pahit, penonton harus menerima itu,” katanya.

Bagaimanapun, menerusi Pekak, timbul rasa tidak puas hati Zahiril terhadap mutu lakonannya.

“Saya gembira dapat memegang watak pemuda pekak, namun masih tidak berpuas hati sepenuhnya kerana tidak dapat menggunakan bahasa isyarat.

“Bapa saya seorang pembimbing kelas pendidikan khas, dan teringin benar untuk menghadiahkan dia sesuatu menerusi watak yang dibawa.

“Uda seorang pemuda yang tidak dapat menerima kenyataan nasib dirinya dan hanya menggunakan bahasa umum mudah faham selain membaca gerak bibir,” katanya.

Justeru, kata pelakon Juvana itu, dia mempelajari serba sedikit teknik bahasa isyarat daripada bapanya lalu mengaplikasikannya dalam filem tanpa pengetahuan pengarah pada awalnya.

Pekak satu daripada lima filem tempatan yang diiktiraf untuk ditayangkan di Festival Filem Cannes bagi kategori Marche du Film 2016 pada Mei lalu. Ia dibawa ke Perancis mengikut program Malaysia Goes to Cannes.

Ia dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia dan Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia.

Kata Zahiril, demi Pekak dia melontarkan seratus peratus usahanya dalam menjayakan watak berkenaan, malah turut mengalirkan air mata kerana Uda.

“Perasaan menjadi terlalu rapat dengan Uda membuatkan saya menangis kerana nasib yang menimpanya.

“Bagi saya untuk mencari wang, carilah dari sumber yang halal, jangan jadi seperti Uda,” ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS