Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Cerita Mat Indera sudah senyap sekarang. Mat Sabu sudah tidak mengungkit lagi Mat Indera, atau orang tidak lagi mengungkit Mat Sabu dan Mat Indera.

Menariknya sekarang Ogos yang juga bulan kemerdekaan. Biasanya, semua kembali cerita tentang merdeka, perjuangan dan negara akan diuar-uarkan pada bulan ini.

Inilah bulan dalam setahun sarat dengan tema tersebut.

Ini bukan tulisan ulangan cerita tentang Mat Indera versi Mat Sabu, tetapi ini adalah tulisan tentang Mat Indera versi Jins Shamsuddin.

Stesyen TV juga mungkin akan siarkan semula tayangan filem Bukit Kepong arahan Jins Shamsuddin pada Ogos ini. Atau mungkin Sarjan Hasan lakonan P Ramlee dan juga Leftenan Adnan lakonan Hairie Othman.

Filem-filem tempatan yang berbentuk sedemikian memang kurang. Maka apabila tiba bulan kemerdekaan filem itulah akan diulang tayang beberapa kali.

Sesebuah karya yang sudah berada di tangan khayalak, ia akan menjadi hak khayalak mentafsirkannya. Jins Shamsuddin tidak buat filem tentang Mat Indera.

Jins Shamsuddin ada buat filem Bukit Kepong. Aku menonton filem tersebut sejak di bangku sekolah. Di dalam filem itu, tidak disebut ada watak yang bernama Mat Indera. Yang aku ingat sampai sekarang watak Sarjan Jamil, hero filem itu.

Memang, filem propaganda bersifat begitu. Menyembunyikan sesuatu yang ingin ditutup dan membongkarkan sesuatu yang hendak ditayang-tayangkan. Itu politik mudah.

Ia seakan penghargaan

Filem yang memakan masa 110 minit itu telah memperuntukkan 16.8 minit ataupun 15 peratus daripada keseluruhan slot filem itu pada watak Mat Indera.

Umumnya Mat Indera dipamerkan sebagai watak antogonis oleh orang awam sebaliknya di dalam filem Bukit Kepong, watak Mat Indera tidak sebegitu buruk.

Mat Indera seorang yang prihatin, bertanggungjawab, mempunyai pengetahuan agama, ramai kawan, cekap, berperikemanusiaan dan seorang pemimpin yang berkebolehan.

Sebenarnya, watak Mat Indera itu memang wujud di dalam filem Jins Shamsuddin. Tempoh 15 peratus diberikan untuk menceritakan perihal Mat Indera bukanlah satu jangka yang pendek untuk watak yang dikhabarkan sebagai pengkhianat. Bahkan ia seakan-akan satu penghargaaan.

Bagaimanakah mengesan watak Mat Indera yang ditenggelamkan dalam filem itu? Aku beritahu petua atau formulanya. Mudah. Syaratnya kita perlu memahami sejarah tragedi Bukit Kepong dari pelbagai sudut pandangan. Jangan baca satu buku sahaja. Jangan baca satu aliran sahaja. Perlu kritis membaca bacaan orang.

Filem Bukit Kepong dibiayai oleh kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia. Slot awalnya adalah ucapan Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman yang menasihatikan generasi muda khususnya agar menghargai kemerdekaan negara.

Pembikinan filem ini bukan setakat mengeluarkan sebuah filem semata-mata. Ia adalah satu kempen untuk menyedarkan tentang bahaya ancaman komunis, Parti Komunis Malaya (PKM) dan menghargai pengorbanan polis yang mempertahankan negara ketika itu.

Pada awal-awal slot filem itu sendiri sudah menyebut bahawa gerila (atau PKM) mempunyai seorang yang berpengetahuan agama pergi ke kampung-kampung untuk mendapatkan sokongan.

Gerangan "seorang yang berpengetahuan agama" itu adalah Mat Indera. Dia diceritakan berjumpa dengan orang kampung tanpa sebarang masalah kerana beliau sangat bijak bergaul dengan masyarakat terutamanya sekitara Muar, Batu Pahat dan Yong Peng.

Halang bunuh polis

Dalam filem itu juga diceritakan Mat Indera terlibat dalam serangan ke Bukit Kepong dari awal hingga akhir. Bahkan Mat Indera berada di barisan hadapan. Mat Indera bertindak sebagai perantara dan peniup trompet yang berfungsi menentukan ‘gencatan pertempuran’ buat sementara.

Apabila ketuanya (seorang Cina) mengarahkan rundingan dibuat dengan pihak polis, Mat Inderalah yang jadi juru runding. Mat Indera berunding dan menulis surat mengajak pihak polis menyerah.

Dalam segmen tersebut, Mat Indera sedaya upaya cuba menghalang kerosakan lebih teruk.

Dalam filem itu juga, bukan saja Mat Indera mengarahkan kawan-kawannya berhenti menyerang balai polis tetapi menghalang daripada mereka membunuh anggota polis yang cedera dan menyelamatkan anak-anak kecil dan perempuan yang terkepung dalam serangan itu.

Namun, petempuran tersebut sukar dikawal dan ramai yang terkorban. Segmen Mat Indera menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap itu biasanya dilihat sebagai segmen biasa. Seolah-olah sekadar pelengkap atau kesinambungan antara satu segmen kepada segmen lain.

Hakikatnya, itulah segmen yang sangat penting dalam mempamerkan kemanusiaan Mat Indera yang tinggi.

Namun penonton telah menghukum Mat Indera sebagai ‘jahat’ sejak dari awal filem itu ditayangkan.

Sebarang perbuatan yang baik tidak dipandang sebagai kebaikan. Pemikiran penonton seakan-akan distruktur sebelum menonton.

Penonton berada di satu pihak saja. Penonton yang bijak seharusnya menonton dengan lebih objektif dan mengelakkan daripada bersikap tidak adil. Awal-awal lagi penonton terperangkap.


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah dan penulis

Lihat Komen
ADS