Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas bantahan ramai, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan mesyuarat dengan aktivis seni mengenai isu perobohan tugu Puncak Purnama karya allahyarham Syed Ahmad Syed Jamal.

Mesyuarat itu merupakan tindakan susulan pihak berkuasa tempatan itu selepas aktivis seni membuat demonstrasi di ibu kota semalam, serta menyerahkan memorandum bantahan perobohan kepada pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Menurut sumber, mesyuarat itu akan dilakukan Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi DBKL, Rolan Abd Rahman dengan pihak-pihak yang terlibat, terutama wakil delegasi yang bertemu dengan Suhakam semalam.

“Saya difahamkan satu mesyuarat dengan pihak-pihak terlibat akan diadakan. (Ia) akan di atur oleh pengarah landskap DBKL,” katanya kepada Malaysiakini.

Arca Puncak Purnama dirobohkan dengan kebenaran DBKL pada 1 Julai lalu untuk membolehkan projek pengindahan landskap dijalankan di situ.

Terletak di Jalan Atap di Kuala Lumpur Puncak Purnama dibina Syed Ahmad (gambar) dengan pembiayaan Bank UMBB dan siap pada 1986. Bank berkenaan kemudian menyerahkan arca itu kepada DBKL.

Tanpa sebarang rundingan atau makluman Puncak Purnama dirobohkan, mendorong banyak pihak menyatakan bantahan sama ada secara individu atau berkumpulan.

Satu petisyen atas talian juga dibuka untuk menyatakan bantahan atas tindakan itu. Sehingga hari ini lebih seribu tandatangan sudah dikumpul.

Semalam sekumpulan aktivis bertemu Suhakam untuk mengadukan masalah itu. Antara tokoh yang hadir memberi sokongan ialah Sasterawan Negara Datuk Baha Zain, bekas pengerusi Bank UMBC, Zain Azahari Zainal Abidin dan pengarah U-Wei Saari.

Tunggu tindakan susulan

Hampir 200 orang menyertai perarakan dan bantahan itu yang dibuat dari depan kompleks beli belah Sogo ke pejabat Suhakam di Jalan Sultan Ismail.

Sementara itu, jurucakap Jawatankuasa Deklarasi Puncak Purnama berkata pihaknya masih belum menerima sebarang jemputan daripada pihak DBKL untuk bermesyuarat.

“Pihak kami belum menerima sebarang maklum balas dari pihak DBKL. Pihak kami sedang merangka untuk bertindak berdasarkan respon dari DBKL.

“Kami juga masih menunggu tindakan susulan dari serahan petisyen semalam,” katanya.

Pertemuan di Suhakam semalam dihadiri salah seorang pesuruhjayanya, Datuk Lok Yim Pheng.

Lok berkata pihaknya akan meneliti perkara tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan yang perlu.

Untuk rekod Syed Ahmad adalah pelukis besar di Malaysia dan menerima pengiktirafan kerajaan sebagai Seniman Negara pada 1995.

Semasa hayatnya beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Malaya, sebelum dilantik menjadi pengarah Balai Seni Lukis Negara antara 1983 hingga 1991.

Syed Ahmad juga adalah orang yang bertanggungjawab menghasilkan logo Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) yang kemudian membentuk Parti Keadilan Nasional ketika politik negara bergolak akibat pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatannya sebagai timbalan perdana menteri.

Syed Ahmad meninggal dunia pada 30 Julai 2011 pada usia 83 tahun.

Lihat Komen
ADS