Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon Amerul Affendi berharap watak antagonis dan babak kontroversi yang dilakonkan dalam filem Pekak bukan untuk menjadi ikut-ikutan sebaliknya wajar dijadikan iktibar.

Katanya, sekiranya masyarakat mengecam dan membenci aksi jahat yang dipamerkan menerusi filem berkenaan, bermakna lakonan dan mesej berjaya disampaikan kepada penonton.

“Lakonan itu perlu dibuat hampir seperti kejadian benar-benar berlaku untuk membuka mata masyarakat agar menjauhi najis dadah.

“Filem itu juga menggambarkan realiti sebenar dalam masyarakat. Kita tahu perkara sedemikian wujud.

“Perbuatan itu merosakkan golongan belia, dan saya berharap ada pihak mengambil berat isu cuba diketengahkan,” katanya.

Dalam filem berkenaan, Amerul atau nama sebenarnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 30 memegang watak sebagai Azman, seorang penagih dadah yang hilang arah dan tujuan hidup.

Terdapat babak memerlukan Amerul merogol Uda (lakonan Sharifah Amani) sehingga beberapa adegan terpaksa dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).

Pekak yang menemui penonton di pawagam sejak 1 September lalu turut dibintangi  Zahiril Adzim, Sharifah Sakinah, Iedil Putra dan Joe Flizzow.

Filem itu baru-baru ini meraih dua anugerah di Festival Filem Antarabangsa Motivasi (IMFF) Bridge of Arts yang berlangsung Ogos di Rostov-on-Don, Russia.

Berasakan sudah puas membawa watak antagonis, Amerul kini mengidam untuk membawa peranan sebagai seorang CEO di sebuah syarikat besar.

Impiannya itu diluahkan kepada media selepas mengganggap dirinya seringkali membawakan watak individu berpenampilan selekeh.

“Penat juga asyik berpakaian selekeh apabila membawa sesuatu watak, justeru saya memasang impian untuk watak pengarah berpakaian kemas dengan kot.

“Peranan itu belum pernah lagi dipegang dan ia menjadi impian yang saya harap bakal terlaksana suatu hari nanti,” katanya.

Meskipun dilihat lebih banyak membawakan peranan sebagai watak pembantu, Amerul berkata beliau tidak terkilan tetapi cuba sedaya upaya memikul tanggung jawab yang diamanahkan dengan baik.

“Saya tidak berasa kecewa sekiranya watak yang diberikan cuma sebagai pelakon pembantu, paling penting memenuhi tanggungjawab itu sebaik mungkin.

“Saya menganggap tugasan diberikan adalah amanah dan sebaiknya menerima gaji itu dengan cara halal selepas berusaha dengan gigih,” katanya.

Lihat Komen
ADS