Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pemergian allahyarham ustaz Mohd Asri Ibrahim tujuh tahun lalu memberi kesan mendalam kepada anggota kumpulan nasyid Rabbani apabila kehilangan vokalis yang juga sahabat baik mereka itu.

Selama tujuh tahun itu juga, Rabbani - kumpulan yang mengalunkan lagu berunsur keislaman- tidak menghasilkan sebarang buah tangan kepada peminat.

Sekian lama mendiamkan diri, kumpulan nasyid yang pernah popular dengan lagu Intifada itu kini tampil semula memperkenalkan album terbaru mereka.

Menurut vokalis terbaru Rabbani, Azadan Abdul Aziz, mereka kini berusaha bangkit semula dengan lagu-lagu ketuhanan meskipun mengakui sukar tanpa kehadiran allahyarham.

"Tujuh tahun ini kami berusaha meneruskan legasi ditinggalkan arwah Asri.

"Rabbani cuba bangkit semula untuk kekalkan semangat juang pernah ditinggalkan Asri dan ia tidak sesenang disangkakan," kata Azadan, 42 ketika ditemui di majlis pelancaran album 'Yang Benar' di Kuala Lumpur semalam.

Arwah Asri meninggal dunia pada 2009 akibat serangan jantung.

Album 'Yang Benar' merupakan karya ke-22 Rabbani dan turut mendapat sentuhan komposer terkenal Edry Abdul Halim.

Lebih menarik, album ini turut menampilkan duet bersama dua penyanyi terkenal tanah air iaitu Siti Nurhaliza menerusi lagu 'Muhammad Al Ameen' dan Black menerusi lagu berjudul 'Dalam Aku'.

Selain itu album berkenaan turut memuatkan lagu antaranya  'Yang Benar', 'Syukur', 'Permaidani Buatku' dan  'Zakat di hati'.

Keseluruhan lagu dalam album 'Yang Benar' mengetengahkan mesej kejujuran dan keikhlasan dalam membentuk kerohanian serta pengisian jiwa.

Menurut Azadan, arwah Asri sering mengingatkannya untuk menghasilkan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat dan kata-kata itu sering menjadi kekuatan kepada mereka.

Sementara itu, Edry berkata dia berasa lega kerana dapat menjalin kerjasama dengan Rabbani bagi menghasilkan album berkenaan. 

Sebagai komposer, katanya, beliau berbangga kerana lagu bercorak keislaman kini diterima secara komersial dan semakin mendapat tempat dalam masyarakat.

"Dulu lagu Intifada yang pernah saya hasilkan untuk Rabbani masih menjadi kegemaran peminat hingga kini.

"Saya lega kerana dapat menghasilkan lagu bukan semata bercorak hiburan tetapi mempunyai mesej berguna dan Rabbani memberikan kepuasan itu melalui kerjasama seperti ini," katanya.

Lihat Komen
ADS