Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jason bersama Harith wakili Malaysia ke Finland
Diterbitkan:  Sep 14, 2016 2:35 PM
Dikemaskini: 6:39 AM

Pelawak Dr Jason Leong terpilih untuk berentap dengan 89 calon dari 56 negara bagi merebut gelaran juara dalam pertandingan Funniest Person in the World.

Menurut kenyataan dikeluarkan penganjur Laugh Factory, pertandingan dijadual berlangsung di Helsinki, Finland pada 4 hingga 10 Disember ini.

“Kita berpeluang untuk membawa keamanan menerusi The Funniest Person in the World, Laugh Factory.

“Oleh itu, dengan sokongan padu daripada anda, pelawak ini boleh bergelar juara dan membawa pulang hadiah utama bernilai ASD$100,000 (RM400,000),” menurut kenyataan itu.

Seorang lagi wakil Malaysia adalah pelawak dan pengacara Harith Iskander.

Jason sebelum ini pernah memenangi pertandingan Festival Komedi Antarabangsa Hong Kong ke-7 dan menjadi individu Malaysia pertama yang membuat persembahan di Kelab Komedi Gotham, New York.

Dia juga pernah mengadakan persembahan di Festival Komedi Antarabangsa Melbourne pada 2015.

Pertandingan dianjurkan oleh Laugh Factory bagi Funniest Person in the World terbuka kepada pelawak berusia 40 tahun ke bawah saja.

Setiap negara hanya berhak menghantar sebanyak dua wakil pelawak. Seorang wakil dari setiap negara akan mara ke pusingan akhir.

Peserta yang dipilih untuk menyertai pertandingan perlu menghantar video klip dengan durasi sekurang-kurangnya tiga minit untuk dimuat naik ke laman sesawang Laugh Factory bagi proses mengundi.

Undian dijalankan dari peminat di seluruh dunia.

Sebanyak 20 peserta yang mendapat undian tertinggi akan mara ke peringkat separuh akhir manakala lima peserta yang terpilih kemudian akan bersaing untuk merebut gelaran juara di peringkat akhir.

Undian peringkat pertama dibuka sejak 1 September lalu hingga 1 Oktober depan.

Selain membawa pulang wang RM400,000, pemenang Hadiah Utama bakal menerima trofi dan dan peluang mengadakan jelajah komedi AS.

Sehubungan itu, untuk mengundi pelawak diminati, peminat disarankan melawati laman sesawang rasmi Laugh Factory untuk maklumat lanjut.

Laugh Factory dilancarkan pada tahun 1979 di Hollywood dan sejak itu diiktiraf sebagai jenama komedi global yang mempunyai rangkaian dengan lebih 210 juta penonton di seluruh dunia.

Lihat Komen
ADS