Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Pekak minta maaf, tiada niat singgung perasaan OKU

Pengarah filem Pekak Mohd Khairul Azri Md Noor meminta maaf kepada mana-mana Orang Kurang Upaya (OKU) yang berasa filemnya seolah-olah memalukan dan menjatuhkan maruah golongan itu.

“Saya minta maaf dengan sejujurnya kerana tidak berniat menyinggung atau mengguris perasaan sesiapa, khususnya kepada golongan OKU.

“Jangan lihat pada aspek itu saja kerana saya tidak membenci OKU.

“Tujuan menghasilkan Pekak bukanlah kerana ingin menggalakkan penyalahgunaan dadah, sebaliknya saya mahu menunjukkan realiti sebenar di luar sana yang masyarakat takut hendak hadam,” kata Mohd Khairul ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebelum ini, satu persatu pertikaian timbul mengenai Pekak, namun Mohd Khairul mengambil sikap mengunci mulut kerana beranggapan setiap perkara yang diluahkan hanya bakal mengundang pertikaian berlanjutan.

Namun, Mohd Khairul berharap dengan penjelasan diberikan, pertikaian berkaitan segera menjadi noktah ke atas filem sulung arahannya itu.

Semalam, Persatuan Ibubapa Anak Masalah Pendengaran Malaysia dilaporkan menyatakan tidak berpuas hati dan tersinggung dengan karakter Uda yang dilakonkan Zahiril Adzim.

Pekak menampilkan watak Uda seorang pemuda pekak yang berusaha menjalani rawatan koklea dengan mengedar dadah.

Dalam kenyataan itu, ia menyatakan Pekak tidak sesuai ditayangkan kerana dipenuhi adegan tidak bermoral seperti keganasan, mencuri, pergaulan bebas dan merokok.

Selain itu, kenyataan itu juga mendakwa terdapat beberapa fakta kurang tepat dipaparkan mengenai masalah orang pekak.

Kaji dulu

Mohd Khairul berkata, dia terlebih dahulu menjalankan kajian di sebuah hospital sebelum menghasilkan Pekak dan kesemuanya diambil kira bermula dari jumlah kos rawatan hinggalah keadaan seseorang pesakit.

Dan seandainya, ada pihak menginginkan Pekak dikeluarkan dari pawagam, Mohd Khairul berkata sebolehnya biarlah ia dilakukan secara adil.

“Seandainya ingin berbuat demikian, pastikan bukan hanya Pekak tetapi semua filem yang dianggap boleh memberi pengaruh buruk misalnya cerita hantu atau gangster.

“Keluarkan hanya kisah baik-baik saja seperti orang mengaji, pergi surau dan sembahyang, kekalkan begitu,” katanya.

Meskipun masih ‘hijau’ dalam bidang pengarahan filem, Mohd Khairul tidak cepat melatah dengan isu yang timbul.

Bagi Mohd Khairul, atas dasar minat yang mendalam terhadap dunia perfileman, segala cabaran perlu ditempuh sebaik mungkin.

“Untuk kekal dalam industri, perkara yang timbul saya anggap sebagai motivasi diri, tidak perlu patah semangat.

“Tiada istilah berputus asa tambahan pula Pekak sedang menunggu ‘jawapan’ sesudah dihantar ke dua lagi pertandingan festival yang berlangsung di Asia dan Eropah,” katanya yang kini sedang sibuk menyiapkan skrip untuk filem arahan terbarunya bergenre seram.

Lihat Komen
ADS