Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kisah legenda Panglima Awang, yang mengisahkan pahlawan Melayu yang merupakan manusia pertama mengelilingi dunia pada abad ke-16, buat pertama kali akan dipentaskan dalam bentuk bangsawan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selama tiga hari mulai 23 Sept ini.

Pementasan itu yang mengetengahkan kejaguhan tokoh Melayu yang juga dikenali sebagai 'Henry The Black' yang dipaparkan dalam novel sejarah, karya Cikgu Harun Muhamad Amin atau Harun Aminurrashid pada tahun 1958 dan dijadikan kajian sejarah oleh pelbagai pihak termasuk pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2000.

Pengarah produksi pementasan bangsawan itu, Mohd Diani Kasian menganggap kisah Panglima Awang adalah sehebat kisah filem 'Pirates of The Caribbean' yang dihasilkan oleh Hollywood.

Beliau berkata pementasan itu bakal membawakan versi terbaik kisah legenda zaman Kesultanan Melayu Melaka hasil garapan skrip, Dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh.

"Persembahan ini mengisahkan secara terperinci perjalanan tokoh pejuang Melayu Islam yang turut dikenali sebagai 'Enrique of Malacca' mengikuti pelayaran Ferdinand Magellan dari Portugal mengelilingi dunia," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Katanya ia turut mengimbau usaha Panglima Awang menjejaki 'senjata keramat' iaitu keris Taming Sari dan Si Manja Kini yang telah dicuri oleh pihak musuh.

Mohd Diani berkata watak Panglima Awang dibawa oleh muka baharu, Yusma Yusof, pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kerana ia bersesuaian dengan sifat tokoh yang dibawanya, yang merupakan seorang yang muda.

"Panglima Awang juga merupakan pakar dalam gerak tari silat dan biarpun masih baharu, Yusma mempunyai kemahiran dalam subjek yang sama jadi ia pastinya membantu beliau lebih menjiwai watak gagah 'panglima' yang dilakonkannya," katanya.

Mohd Diani berkata Datuk Jalaluddin Hassan akan membawa watak Laksamana Hang Tuah manakala Juhara Ayub sebagai isteri kepada Sultan Melaka dan Sultan Melaka akan dilakonkan oleh Zulkifli Ismail, selain dibantu 44 pelakon tambahan.

Tambahnya, biarpun kesahihan kisah Pelayaran Panglima Awang masih dipertikai sesetengah pihak, beliau menganggap perkara seumpama itu tidak boleh dielakkan kerana kewujudan Hang Tuah lima bersaudara juga masih dijadikan isu dan persoalan golongan tertentu.

"Dari situ kami fokus dan mengambil pendekatan mengumpulkan segala maklumat sebaik mungkin dari sumber paling dipercayai bagi memastikan ia menghampiri kesempurnaan dalam penceritaannya.

"Besar harapan saya agar karya ini nanti boleh dijadikan rujukan utama bagi tujuan kajian sejarah Melayu dan pembelajaran pelajar di sekolah mahupun institut pengajian seterusnya menjulang nama Panglima Awang di kedudukan sepatutnya," kata Mohd Diani.

Aktivis teater yang berpengalaman itu menyifatkan cabaran utama bagi pementasan teater kali ini terletak pada keperluan menghasilkan lebih enam latar lokasi termasuk di Melaka, Portugal, Sepanyol dan Filipina.

"Ia memerlukan daya kreativiti tinggi untuk kita membayangkan seterusnya menghasilkan latar lokasi yang boleh memberi impak kepada emosi penonton selain menjadi nilai tambah dalam menguatkan jalan penceritaan pementasan ini," katanya.

"Dengan kreativiti kru produksi menghasilkan pentas terbaik disulami keupayaan pelakon menjiwai watak serta penggunaan muzik latar bersesuaian, saya yakin ia akan memberi kepuasan maksimum kepada penonton," katanya.

Pementasan Bangsawan Pelayaran Panglima Awang akan diadakan pada 23 dan 24 Sept, 8 malam dan pada 25 Sept pada 3 petang dengan harga tiket RM10, RM25 dan RM50.

Untuk tempahan tiket, hubungi 03-2614 8262.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS