Perasaan seorang wanita bergolak apabila tersepit antara cinta dan kepercayaan terhadap suami yang dituduh sebagai seorang peliwat.
Bagaimana perasaannya ketika itu yang terpaksa berperang dalam diri, demi suami dan anak-anak dalam menghadapi pandangan masyarakat?
Itu yang cuba diceritakan oleh Afiza Asram, 26, dalam cetusan idea asal diilhamkannya melalui pementasan teater Perempuan Perang.
“Perempuan Perang menjengah fikiran apabila konflik seorang isteri dan si suami pelaku sodomi tiba-tiba diperbualkan bersama rakan-rakan.
“Lalu timbul persoalan tindakan yang perlu diambil oleh seorang perempuan yang juga isteri dan ibu kepada anak-anaknya apabila mendepani situasi sedemikian.
“Untuk menguraikan situasi itu dalam konteks penceritaan, maka terhasil lah Perempuan Perang,” katanya yang ditemui di Petaling Jaya semalam.
Selain tampil sebagai salah seorang pelakon, Afiza juga bertindak selaku pengarah bersama Khairil Ridzuan Saharudin untuk teater itu yang bakal dipentaskan bermula esok di Projek Bilik Sempit, Petaling Jaya.
Khairil pernah mengarahkan filem Omar Sang Wira dan teater Ggocoh Gong Pauh dan Goyeh.
Pementasan berkenaan dijadual bermula pada 23 hingga 25 September dan dari 29 September hingga 2 Oktober.
Persembahan yang dijangka berlangsung selama 50 minit itu turut menampilkan Khairunazwan Rodzy dan Hushairi Husain sebagai pelakon.
Menurut Khairil, 32, walaupun tema Perempuan Perang mungkin akan dikaitkan dengan kisah yang pernah melanda seorang tokoh politik negara, namun dia menafikannya.
“Watak dan jalan cerita tidak direka berdasarkan mana-mana kejadian yang pernah berlaku selain ia juga bebas politik.
“Naskhah dipaparkan tidaklah berat tetapi bakal memainkan emosi cukup hebat setaraf kisah Bollywood.
“Terdetik untuk bersama-sama memainkan peranan dalam pementasan kerana saya berasakan naskah ini boleh meningkatkan daya berfikir seseorang di luar kotak dalam mendepani isu sama sekiranya terjadi pada diri sendiri,” katanya.
Menurut Husairi pula, selain dilema seorang wanita, Perempuan Perang turut mengupas realiti ditonjolkan dalam masyarakat.
Katanya, terdapat segelintir masyarakat lebih cenderung untuk mempamerkan sikap keakuan berbanding membantu antara satu sama lain, dan hal itu amat membimbangkan.
“Sudah lama saya perhatikan, konteks masyarakat kini yang dilihat lebih mementingkan diri sendiri terutama dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
“Tiada lagi unsur kemasyarakatan yang diperjuangkan, sebaliknya 'aku jaga aku' dan 'kau jaga kau', kerana semuanya mengambil sikap berlepas tangan.
“Saya tidak melihat cerita ini berdasarkan dari sudut mana-mana tokoh politik tanah air, sebaliknya kerana isu diketengahkan menjadi satu subjek yang turut menjadi permasalahan dalam dunia global,” katanya.
