Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Awie rahsiakan tarikh perkahwinan kerana 'sakit misteri'

Vokalis Wings,  Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman hari ini mengumumkan akan bernikah dengan tunangnya dalam masa terdekat.

Walaupun ia sepatutnya menjadi berita gembira buat anggota kumpulan rock tersohor itu, Awie mengakui hatinya berat untuk menguar-uarkan perkara berkenaan.

Malah, Awie berkata pertunangannya dahulu turut dirahsiakan dan dibuat di Pulau Pinang.

"Memang tidak mahu berahsia tetapi takut sekiranya perkara tidak diingini terjadi yang ketika ini sering membelenggu hidup saya," katanya.

Awie berkata demikian ketika sidang media di Kuala Lumpur bagi mengumumkan Konsert Wings 30 Tahun di Kota Kinabalu Sabah Disember depan.

Menurut penyanyi rock terkenal itu, dia merahsiakan perkahwinannya kerana ketika ini sedang mengalami 'penyakit misteri' akibat gangguan mistik.

Tambahnya, tunangnya yang hanya didedahkan sebagai Sharifah dan berusia 20-an turut mendapat tempias sama, selain dua lagi anaknya.

"Dia (tunang) kena juga, kakinya lebam-lebam dan berjalan berdengkot seperti saya. Dia juga mengalami trauma.

"Dua anak saya, iaitu Merah dan Puteri pula muntah-muntah. Itulah yang menjadi penyebab saya merahsiakan hal perkahwinan ini. Saya hanya boleh beritahu akan berkahwin pada bulan ini," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Awie mengalami sakit kaki misteri semasa sedang giat berlakon dan mempromosikan teater Tun Mamat dan Puteri Gunung Ledang di Melaka baru-baru ini.

Awie pernah merujuk penyakit itu kepada pakar dan doktor pada awalnya mengesyaki ia berpunca daripada penyakit gout.

Bagaimanapun, dia mencurigai pendapat tersebut kerana sakit itu berlaku sekali sekali dan hanya pada waktu tertentu.

Katanya, selepas menjalani ujian darah, doktor mengesahkan ia bukan penyakit gout seperti disangka.

"Doktor perlu cucuk (suntik) dua kali kaki saya dan selama sebulan hidup bergantung pada ubat tahan sakit," katanya.

Lantaran itu dia kini meminta bantuan daripada dua ustaz dari Indonesia untuk mengubati penyakit  tersebut.

"Kelmarin seorang daripada ustaz itu begitu pelik kerana tidak menyangka saya masih dapat bertahan dengan sakit misteri dialami,"

"Saya buang air besar sangat banyak dan sudah tidak larat kerana ia terlalu teruk dan kaki hanya sakit bila dipijak apabila tiba hari membuat persembahan," katanya.

 

Lihat Komen
ADS