Di mana Wiji Thukul dan apa kesudahan yang terjadi kepadanya masih meninggalkan misteri dan sejuta pertanyaan kepada rakyat Indonesia yang cintakan keadilan.
Kini kisah hidup mengenai sasterawan dan aktivis terkenal Indonesia itu bakal ditayangkan di pawagam republik itu, bermula Januari tahun depan.
Filem berkenaan- Istirahatlah Kata-Kata- adalah karya yang disutradai Yosep Anggi Noen, memaparkan kisah kehidupan Wiji ketika hidup dalam pelarian di Pontianak pada 1996.
Baru-baru ini, ia diumumkan sebagai filem terbaik pada malam Apresiasi Filem Indonesia (AFI) yang diadakan di Manado, Sulawesi Utara.
Menurut Penerbit, Yulia Yulia Evina Bhara, pihaknya sedang rancak melakukan persiapan agar filem itu dibawa menemui penonton di layar perak.
“Saat ini kami sedang menyiapkan filem ini agar ia boleh ditonton di pawagam Indonesia pada Januari 2017 nanti,” katanya seperti dilapor portal Kompas.com.
Anugerah AFI diterima Wahyu Susilo, adik Wiji Thukul yang turut membacakan puisi berjudul 'Istirahatlah Kata-Kata' pada majlis itu.
Wiji Thukul, atau nama sebenarnya Widji Widodo hilang dipercayai diculik pada tanggal 27 Julai 1998, ketika berumur 34 tahun.
Dia merupakan salah seorang tokoh dan aktivis hak asasi yang kuat melawan rejim orde baru di bawah kepimpinan presiden Suharto.
Sejak 1998, Wiji tidak ketahui keberadaannya dan khabar angin berlegar mengatakan dia diculik tentera Indonesia.
Apa yang tinggal adalah hasil tulisan dan sajak-sajak Wiji yang masih berbekas kepada anak-anak muda Indonesia sehingga kini.
Ditayangkan di Busan
Ketika Istirahatlah Kata-Kata menerima penganugerahan AFI, Yosep dan Yulia menghadiri tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Busan, di Korea Selatan.
Yosep yang ditemui media Indonesia turut berkongsi perasaannya terhadap penghargaan diterima AFI.
“Terima kasih atas penghargaan diberikan oleh Apresiasi Filem Indonesia 2016. Pada hari sama, filem kami juga sedang ditayang di Festival Filem Antarabangsa Busan.
“Apresiasi dari festival filem di dalam dan di luar negeri memberi nilai positif bagi filem ini,” katanya.
Istirahatlah Kata-kata juga pernah ditayangkan di Festival Filem Locarno, Switzerland pada Ogos lalu.
Sejak itu, filem berkenaan sudah menyertai dua pertandingan iaitu Festival Filem Vladivostok, Rusia dan Festival Filem Antarabangsa Hamburg, Jerman.
Selepas Busan, Istirahatlah Kata-Kata bakal menyertai pertandingan di Festival Filem QCinema di Filipina pula.
Filem ini dibintangi oleh Gunawan Maryanto, Marissa Anita, Melanie Subono, Eduward Bolang Manalu, dan Dhafi Yunan.
